"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tular pekerja kencing, restoran mamak diarah tutup

Bernama
Tangkap layar video tular memaparkan seorang pekerja restoran itu kencing secara terbuka di longkang di belakang premis.
MELAKA: Sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah diarahkan tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam persekitaran kotor.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Melaka, Dorothy Dayang Henry Sum, berkata arahan penutupan selama 14 hari bermula petang semalam dikeluarkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut susulan aduan orang ramai.

Beliau berkata, serbuan juga dilakukan berikutan video tular berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang pekerja restoran terbabit kencing secara terbuka di longkang di belakang premis menjual makanan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita turut keluarkan empat notis kompaun bernilai keseluruhan RM1,500 atas pelbagai kesalahan. Premis diarahkan tutup bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak bersih, selain premis ini juga memperoleh markah 64% ke bawah hasil penilaian dilakukan penguat kuasa,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di premis itu semalam.

Dorothy Dayang berkata, pihaknya turut mengesan puntung rokok dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan perbuatan merokok tidak boleh dilakukan di dalam premis penyediaan makanan serta perlu jarak sejauh 3m dari meja terakhir.

“Kita juga dapati tiada tandas di dalam premis ini, yang ada hanyalah di stor iaitu di bangunan bersebelahan premis, namun tidak mempunyai air menyebabkan pekerja terpaksa menggunakan tandas di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, restoran itu sebelum ini pernah diarahkan tutup sebanyak dua kali pada 2022, bagaimanapun tetap mengulangi kesalahan sama, justeru menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih setiap masa.

“Premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan jika masih ingkar, boleh dikenakan arahan penutupan di bawah akta berkaitan,” katanya.

Tiada ulasan: