"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tentera diarah bakar rumah

Agensi
PASUKAN penyelamat Palestin memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza selepas dibom Israel. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat Palestin memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza selepas dibom Israel. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Pegawai kanan Israel mengarahkan tentera mereka membakar rumah penduduk Gaza, Palestin.

Akhbar Israel, Haaretz melaporkan arahan itu adalah amalan biasa dan tanpa sebarang kelulusan undang-undang.

Menurut maklumat diperoleh Haaretz, tentera Israel memusnahkan ratusan bangunan dengan cara ini sejak sebulan lalu.

Sumber memberitahu, pada mulanya, langkah membakar rumah dilakukan secara kecil-kecilan sebelum semakin menjadi amalan biasa.

Pada akhir operasinya di Semenanjung Gaza minggu lalu, satu batalion diberi arahan untuk mengosongkan barang-barang dari rumah dan bersedia untuk dibakar.

Laporan itu menyatakan, beberapa tentera Israel memuat naik video ke media sosial dan melabelkan tindakan mereka sebagai balas dendam terhadap warga Israel yang terbunuh pada 7 Oktober lalu.

Menjawab laporan itu, tentera rejim itu berkata, pemusnahan bangunan di Gaza sentiasa dilakukan dengan kelulusan rasmi dan dakwaan operasi itu tanpa kebenaran akan disiasat.

Seorang pegawai pemerintah tentera Israel memberitahu Haaretz, dia pun tidak tahu mengapa beberapa bangunan dibakar.

"Mungkin ada maklumat mengenai pemilik rumah itu atau mereka menjumpai sesuatu di situ.

"Saya tidak tahu dengan tepat kenapa rumah itu dibakar," kata pegawai itu.

Sejak operasi ketenteraan Israel bermula Oktober lalu, tentera Israel menggunakan periuk api dan bahan letupan lain untuk memusnahkan rumah dan bangunan.

Data satelit yang diperoleh BBC menunjukkan kira-kira 144,000 hingga 175,000 bangunan di seluruh Semenanjung Gaza rosak atau musnah.

Angka itu bersamaan dengan 50 hingga 61 peratus bangunan Gaza.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggarkan, kira-kira 70 peratus infrastruktur awam Gaza kini dimusnahkan Israel.

Kemusnahan yang meluas menyebabkan pakar undang-undang melabelkan tindakan itu sebagai domisid atau pemusnahan besar-besaran rumah untuk menjadikan kawasan itu tidak boleh didiami.

Domisid ialah jenayah kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa.

Tiada ulasan: