"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Duda didenda RM3,000 mengaku intai wanita dalam tandas

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
TERTUDUH mengaku mengintai seorang wanita di dalam sebuah tandas di medan selera Bukit Katil pada Selasa lalu. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD
MELAKA – Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengintai seorang wanita di sebuah tandas medan selera di Bukit Katil, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Helmi Ali, 33, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sengaja mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 38 tahun dengan cara membuat isyarat menceroboh privasinya yang telah mengganggu kesantunannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.20 petang di dalam tandas medan selera di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 30 Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau keduanya sekali mengikut bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang berniaga di medan selera berkenaan telah melihat kelibat tertuduh yang dikenali dari ruang atas kanan tandas selepas selesai membuang air kecil.

Pengadu kemudian memintanya keluar dari tandas itu dan tertuduh meminta maaf dengan memberi alasan mahu mengambil barang.

Wanita itu yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak kemudian membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya tertuduh ada mengambil gambar atau videonya semasa membuang air kecil.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Tertuduh yang juga seorang duda dan tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: