"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video ‘tuan guru’ renjis air jampi pada kereta undang perdebatan ramai

SITI NUR ZAWANI

Merenjis air jampi pada kereta untuk mengelakkan musibah samalah seperti upacara merenjis tepung tawar pada pengantin. Tidak memberi apa-apa makna namun boleh mengundang fitnah.

Walaupun sudah banyak penjelasan dan hukum berhubung upacara renjis merenjis kenderaan ini, ia tetap juga diamalkan sebahagian masyarakat Melayu.

Sama seperti yang dilakukan seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Tuan Guru Baba Ismail.

Dia memuat naik rakaman menunjukkan aksinya merenjis ‘air jampi’ pada sebuah kereta baharu sehingga menjadi perdebatan ramai di media sosial.

 Ada yang menganggap amalan itu sebagai khurafat dan pelik, namun tidak kurang juga yang berpendapat tuan guru tersebut lebih ahli dalam hal begini kerana ilmu agamanya tinggi.

Menurut maklumat orang awam, Baba Ismail adalah seorang ulama dari pondok di Pattani, Thailand.

“Sudah 2024, masih ada lagi amalan khurafat macam ini ya,” tulis

“Apa salahnya kalau air solat hajat tu direnjis-renjis pada kenderaan yang baru nak guna. Sekadar ikhtiar minta dijauhkan dari malapetaka. Husnuzon,” kata Ainaa.

Begitupun, Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 2019 pernah menjelaskan hukum tentang perbuatan merenjis atau membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah.

Memetik jabatan itu, perbuatan tersebut adalah sesuatu yang tidak disyariatkan dan hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap masyarakat Islam.

Ada juga yang menggunakan cara ini yang dikatakan dapat mengelakkan penyakit Ain namun tindakan ini tidak harus.

Cara menghindari daripada penyakit Ain bukanlah dengan menyiram/ merenjis air ke kereta. Caranya ikutlah panduan yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abi Said RA;

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada ALLAH dari penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas) baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lainnya” (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, amalkanlah bacaan surah al-Falaq dan surah an-Nas sebagai pelindung diri dari kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.

Hal ini kerana, jika orang Islam sendiri percaya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya maka tiada beza agama Islam dengan agama lain.

Sedangkan Islam telah memberikan panduan untuk berkenderaan dengan membaca dan mengamalkan doa.

Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalan raya, maka barulah bertawakal kepada Allah SWT.

Tiada ulasan: