ASLIZA MUSA
Pesawat yang terhempas di Felda Gunung Besout 2 Tambahan di Sungkai, Tanjung Malim, hari ini (kiri) dan Abdullah (kanan).
TANJUNG MALIM – “Keadaan juruterbang itu tergantung dan kakinya tersepit di kerusi. Jadi saya bantu peluk mangsa hingga bomba tiba,” ujar Abdullah Abdul Talib, 36.
Abdullah adalah individu terlibat menjumpai pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk yang terhempas di kawasan ladang dalam Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai, di sini hari ini.
Menceritakan kejadian tersebut, penyelia ladang itu berkata, dia terkejut apabila melihat seorang wanita berdiri di tepi pesawat dengan kesan kecederaan di muka.
Katanya, wanita itu menjerit meminta tolong sambil memberitahu terdapat seorang lagi mangsa tersepit di dalam pesawat.
“Ketika kejadian, saya mahu keluar dari kawasan ladang tapi pelik apabila lihat banyak pokok patah dan tumbang. Jadi saya turun dari kenderaan dan cuba periksa.
“Ketika itu saya lihat banyak serpihan berwarna putih dan biru berselerakan sebelum ternampak sebuah pesawat dalam keadaan terjunam dan berada di celah-celah pokok,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurutnya, dia segera mencari jalan terdekat untuk ke lokasi bangkai pesawat itu sebelum menjumpai kedua-dua mangsa dengan seorang daripada mereka tersepit.
Katanya ketika kejadian, hanya dia sahaja berada di lokasi terbabit dan segera menghubungi pihak polis serta ambulans untuk bantuan.
“Ketika lihat pokok tumbang, saya tidak sangka langsung ia disebabkan pesawat terhempas. Lagipun, saya tidak dengar bunyi letupan atau ada pesawat yang lalu di kawasan ini.
“Ini merupakan kejadian pertama sepanjang sembilan tahun bekerja di ladang. Apa pun, saya bersyukur kerana dapat membantu mangsa dan mereka selamat,” katanya.
Dalam nahas sekitar pukul 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dari Akademi Penerbangan Layang-Layang itu sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan