"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Kereta, rumah ditembak: Suspek diburu polis

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Polis Kelantan sedang mengesan dua suspek lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan ke sebuah rumah di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, di sini, jam 3 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata berdasarkan laporan, ketika kejadian pengadu bersama sepupunya sedang tidur di dalam rumah berkenaan sebelum terdengar tembakan.

Katanya, mereka sempat melihat dari pintu utama terdapat dua lelaki melarikan diri menggunakan motosikal jenis Y15 dari arah Kampung Gelang Mas ke Kampung Bunut Susu, di sini.

"Pengadu kemudian keluar meninjau keadaan di hadapan rumah berkenaan dan mendapati kereta jenis Perodua Viva dan Mitsubishi Triton mengalami kerosakan serta pecah cermin akibat ditembak.

"Manakala, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, anggota bertugas turut menemui empat kelongsong peluru di hadapan rumah terbabit

"Kelongsong yang dijumpai di tempat kejadian disyaki jenis 9 mm dan insiden ini tidak mencederakan mana-mana individu selain hanya membabitkan kerosakan dua kenderaan sahaja," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata kes disiasat di bawah seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala motif kejadian masih lagi dalam siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga yang sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Kampung Gelang Mas, Jalan Bunut Susu, di sini, dikejutkan dengan beberapa das tembakan awal pagi tadi.

Tiada ulasan: