"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja maut, tayar jentolak meletup

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Seorang pekerja bengkel maut manakala seorang lagi parah selepas tayar jentolak yang tiba-tiba meletup di sebuah pusat servis di Bandar Baru Sungai, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ketika kejadian dua lelaki tempatan berusia 19 dan 21 tahun sedang mengisi angin ke dalam tayar jentolak berkenaan kira-kira jam 12.40 tengah hari.

"Ketika mangsa sedang mengisi angin tayar jentolak tiba-tiba ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

"Mangsa berusia 19 tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial sejak semalam, gambar memaparkan dua lelaki dipercayai mangsa berkenaan terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan cedera di kepala.

Gambar itu disertakan dengan pesanan suara seorang lelaki mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah bengkel di sekitar Kajang.

Sehubungan itu Mohd Hafiz menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar berkenaan.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Tiada ulasan: