"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hukuman gantung lelaki bunuh, tidur dengan mayat rakan diganti penjara

BERNAMA

Putrajaya: Seorang pekerja rencam yang didapati bersalah membunuh rakannya dan tidur bersama mayat mangsa selama empat hari terlepas tali gantung apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap lelaki itu dengan penjara 30 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail turut memerintahkan Mohd Azhud Ibrahim, 33, disebat sebanyak 12 kali.

Turut bersidang Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Azhud untuk mengetepikan sabitan terhadapnya dalam kes itu.

Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata keterangan mengikut keadaan menunjukkan bahawa Mohd Azhud telah membunuh Ahmad Azam Ahmad.

Mohd Azhud mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Februari 2023 yang menjatuhi hukuman mati terhadapnya kerana membunuh Ahmad Azam, 43, di sebuah rumah di Lorong Mohd Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak pada 12.10 tengah malam 10 Ogos 2018.

Mengikut fakta kes, seorang rakan tertuduh yang pergi ke rumah itu tercium bau busuk dan dimaklumkan oleh Mohd Azhud bahawa ada orang mati.

Individu itu berkata Mohd Azhud telah berkata "Aku bengang dah lama dengan dia ni. Aku runsing."

Semasa memberi keterangan kepada mahkamah dari kandang tertuduh, Mohd Azhud mendakwa dia tidak berniat membunuh mangsa selepas mereka terbabit dalam pergaduhan.

Tertuduh mendakwa dia terpaksa memukul Ahmad Azam bagi melindungi dirinya kerana mangsa bertindak agresif.

Mohd Azhud mendakwa selepas itu, dia telah menghisap ganja serta tertidur selama dua hari dan selepas bangun, tertuduh melihat mangsa terbaring kaku di atas lantai dan tidak lagi bernafas.

Tertuduh berkata dia ingin menggali lubang di belakang rumah itu bagi mengebumikan jasad Ahmad Azam namun tidak sampai hati untuk berbuat demikian.

Jadi, dia membuat keputusan untuk tinggal bersama mayat mangsa.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami 23 kecederaan luaran serta parah di bahagian kepada dan dada.

Peguam Gurbachan Singh, Gobindeep Singh dan Aashwini Rajan mewakili Mohd Azhud manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Ashraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan.

Tiada ulasan: