"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugutan Klopp punca Salah berang

KOSMO
STATUS Salah sebagai pemain paling disayangi Klopp berubah selepas insiden di Stadium London Sabtu lalu. - AFP
LONDON – Persoalan mengenai punca perbalahan antara pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dengan pemainnya, Mohamed Salah akhirnya terjawab selepas penyerang West Ham United, Michail Antonio membuat pendedahan.

Pemain antarabangsa Jamaica itu menjelaskan, pemain-pemain simpanan The Hammers melihat secara langsung dan jelas insiden tersebut dan hampir mendengar kesemuanya apa yang diperkatakan Klopp dan Salah.

Antonio berkata, pengendali dari Jerman itu seolah-olah mengugut enggan memberikan minit permainan kepada Salah ketika dia sedang bersiap sedia untuk dimasukkan sebagai pemain gantian ketika The Reds seri 2-2 menentang West Ham Sabtu lalu.

“Secara asasnya, ini bukanlah sumber dalaman daripada kelab tersebut. Tidak ada sesiapa (pemain Liverpool) yang beritahu saya. Bagaimanapun, insiden itu dilihat oleh pemain-pemain simpanan West Ham.

“Apa yang diceritakan kepada saya adalah Klopp mahu bersalam dengan Salah, namun tidak diendahkan. Ia nyata tidak disenangi oleh Klopp sehingga beliau berang dan mengugut untuk membatalkan hasrat memasukkan pemain itu,,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Antonio, dia tidak tahu apa yang diperkatakan Salah kepada Klopp sehingga memaksa dua lagi pemain Liverpool, Darwin Nunez dan Joe Gomez masuk campur bagi meredakan keadaan.

Difahamkan, insiden itu adalah rentetan kepada keputusan Klopp yang meletakkan Salah di bangku simpanan dan hanya memasukkannya ketika perlawanan berbaki 10 minit dengan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Walaupun Klopp menjelaskan perkara itu sudah diselesaikan antara kedua-dua pihak, namun Salah dikatakan belum berpuas hati dengan layanan yang diberikan kepadanya pada perlawanan tersebut. – AGENSI

Tiada ulasan: