"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Perlis tak direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis Shukri Ramli tidak direman sebaliknya dibenarkan pulang selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkait tuduhan salah guna kuasa dalam projek pembekalan.

“MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan,” kata pengendali Facebook Shukri.

Kenyataan ringkas terbabit menafikan laporan Malaysiakini bahawa pesuruhjaya PAS Perlis itu ditahan oleh SPRM ketika hadir memberi keterangan hari ini.

Difahamkan Shukri tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9.50 pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan kehadiran Shukri ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu.

Minggu lalu, anak Shukri antara lima individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan berjumlah RM600,000. Semuanya sudah dibebaskan dengan jaminan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga kini yang menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja tidak dilaksanakan.

Shukri yang mula menjadi menteri besar pada Disember 2022, sebelum ini dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara SPRM untuk menjalankan siasatan dan tiada prasangka sekiranya anaknya terbukti bersalah.

Katanya, apa berlaku kepada dirinya dianggap “ujian” selain mengakui kelemahannya kerana “terlalu baik”, serta meletakkan “kepercayaan kepada semua orang”.

Tiada ulasan: