Hidir Reduan Abdul Rashid
Usaha perundangan lebih 10 tahun seorang wanita untuk membatalkan penukaran agamanya kepada Islam yang dibuat ketika dia masih kanak-kanak pada 1991 berakhir hari ini apabila mahkamah sivil tertinggi menolak rayuannya untuk mengubah status agamanya.
Panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri tiga hakim dalam keputusan 2-1 menolak rayuan wanita berusia 36 tahun itu untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam 2021 yang membatalkan penukaran agamanya yang dibuat oleh ibunya yang mualaf.
Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri untuk mengembalikan semula pemelukan Islam wanita itu.
Pada tahun 1991, ibunya - ketika itu sudah berpisah dengan bapanya yang beragama Hindu - memeluk Islam dan meminta bantuan Mais untuk mengislamkan anaknya, yang berusia lima tahun ketika itu.
Dua tahun kemudian, Jais mengeluarkan sijil penukaran agama untuknya. Bagaimanapun, ibunya - setelah berkahwin dengan seorang lelaki Islam ketika itu - membenarkannya untuk terus mengamalkan agama Hindu.
Antara Disember 2013 dan Julai 2017, mahkamah syariah menafikan permohonannya untuk membatalkan penukaran agama, mendorongnya untuk merujuk ke mahkamah sivil Shah Alam.
Presiden Mahkamah Rayuan Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan rakan-rakan hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais membentuk keputusan majoriti, manakala ahli panel Mary Lim Thiam Suan tidak bersetuju.
Membaca keputusan majoriti, Abu Bakar berkata wanita itu berada di bawah kategori "tidak lagi Islam" dan bukan "tidak pernah Islam".
Dia berkata hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atas orang yang mendakwa tidak lagi beragama Islam dan mahkamah sivil hanya mempunyai bidang kuasa ke atas mereka yang tidak pernah beragama Islam sejak awal lagi.
Ini kerana wanita itu, walaupun telah ditukar agama kepada Islam ketika kanak-kanak, tetapi dibesarkan sebagai seorang Muslim sehingga dewasa.
Dia berkata ketika wanita itu datang ke Mahkamah Syariah pada 2013, dia berhujah bahawa dia mahu meninggalkan agama Islam dan tidak mencabar kesahihan penukaran agama ketika dia masih kanak-kanak.
Abu Bakar seterusnya berkata dia hanya membangkitkan isu kesahihan penukaran agamanya semasa kecil apabila dia merujuk mahkamah sivil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan