Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Anggota bomba menjalankan operasi SAR mencari lelaki warga Pakistan yang dikhuatiri lemas akibat kepala air di Sungai Buloh. - Foto ihsan Bomba
SUNGAI BULOH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas, manakala rakannya meninggal dunia dalam kejadian kepala air dekat sungai berhampiran Kem Sungai Buloh di sini, semalam.
Mayat lelaki warga Pakistan berusia 27 tahun itu ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 1.12 tengah tadi, manakala rakan senegaranya masih hilang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian 5.08 petang semalam sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
"Menurut keterangan saksi di lokasi, ada dua lelaki berada di tebing sungai berkenaan sebelum hilang akibat dihanyutkan kepala air.
"Kerja mencari dan menyelamat segera dilaksanakan namun tidak menemui mangsa sebelum operasi disambung semula 10.10 pagi ini.
"Operasi pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dipercayai hilang menghala ke Jalan Haji Baei, selain bantuan dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhlis berkata, pasukan operasi berjaya menemui mayat pertama berhampiran Jambatan Jalan Rahidin di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasinya hilang.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari mangsa kedua diteruskan.
Katanya, operasi pencarian diperluaskan sehingga ke Jambatan Kubu Gajah namun dihentikan pada 5.30 petang kerana cuaca hujan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan