Malaysiakini
Terdapat peningkatan jumlah dana yang mengalir ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan Malaysia, menurut satu laporan.
Memetik sumber yang enggan namanya disiarkan, Reuters berkata pegawai tertinggi sekatan dari Jabatan Perbendaharaan AS akan datang melawat ke Malaysia.
“Setiausaha Perbendaharaan untuk Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat, Brian Nelson, dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti sedemikian, kata sumber itu.
"Penasihat am Perbendaharaan, Neil MacBride, juga akan ikut serta dalam kunjungan itu.
Setiausaha Perbendaharaan untuk Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat, Brian Nelson.
“Lawatan itu dibuat ketika Perbendaharaan telah meningkatkan tumpuannya terhadap pembiayaan pengganas melalui Asia Tenggara.
“(Ini) termasuk melalui usaha mengumpul dana dan penjualan minyak Iran yang haram, kata sumber itu,” menurut laporan berkenaan.
Pada Disember, Reuters berkata Jabatan Perbendaharaan telah mengenakan sekatan ke atas empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia, yang dituduh sebagai barisan hadapan untuk menyokong pengeluaran dron Iran.
Sementara itu, Nelson juga dijadual melawat Singapura untuk "membincangkan penguatkuasaan had harga yang diterajui G7 ke atas minyak Rusia serta memotong penghantaran barangan dwiguna kritikal, yang mempunyai tujuan awam dan ketenteraan."
Sebelum ini, Reuters melaporkan AS mengeluarkan sekatan baru terhadap "10 entiti dan empat individu yang berpangkalan di Iran, Malaysia, Hong Kong dan Indonesia yang dituduh menyokong pengeluaran dron Iran."
Perbendaharaan AS mendakwa rangkaian itu memudahkan perolehan komponen bagi Pertubuhan Jihad Sara Diri Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam dan program dronnya.
Pada bulan April, Malaysia telah menyokong serangan dron Iran ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kedutaan republik Islam itu di Damsyik.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang lantang terhadap serangan Israel di Gaza dan penyokong Hamas, menyebutnya sebagai "tindakan yang sah" terhadap serangan "biadab" oleh Tel Aviv.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan