"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila kerbau betina naik angin...

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
MOHD Arshad menunjukkan kecederaan dialami akibat ditanduk kerbau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.

MOHD Arshad menunjukkan kecederaan dialami akibat ditanduk kerbau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Kuala Pilah: Dua kali ditanduk kerbau, itu kejadian malang yang menimpa seorang warga emas berusia 63 selepas ditanduk seekor kerbau betina.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kolam udang di Kampung Jumbang, Seri Menanti jam 5.30 petang Rabu lalu, Mohd Arshad Lebar mengalami luka di bahagian dada akibat ditanduk kerbau berkenaan.

Dia yang juga pekerja di kolam udang berkenaan berkata ini kali pertama dia diserang dan ditanduk kerbau biasanya berada di sekitar kawasan itu.

Katanya ketika kejadian ada sekumpulan kerbau berada di situ sebelum kerbau betina berkenaan datang meluru ke arahnya yang sedang memberi makanan kepada udang di dalam kolam.

"Akibatnya saya tercampak ke dalam kolam kering berhampiran dan sebaik terjatuh kerbau itu sekali lagi menanduk saya.

"Kerbau itu cuba untuk menanduk saya buat kali ketiga namun saya memegang tanduknya dan membenamkan kepala kerbau dianggarkan seberat 200 kilogram ke tanah.

"Saya ambil kesempatan untuk melarikan diri dengan badan berlumuran darah, "katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mertang, Seri Menanti hari ini.

Mohd Arshad berkata dia kemudian menunggang motosikal sehingga ke sebuah warung kira-kira 150 meter dari kolam udang berkenaan.

Dia kemudian dihantar ke klinik berhampiran oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Roslee Othman sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Saya dibenarkan keluar wad semalam dan kini sedang berehat di rumah abang. Biarpun masih terkejut dengan kejadian yang tidak disangka ini, saya tidak mahu memanjangkan kes kerana apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT malah urusan dengan pemilik kerbau itu juga sudah selesai. Saya berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi, "katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Gani mengesahkan menerima laporan polis kejadian itu.

Tiada ulasan: