"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram ditahan

BERNAMA

Ipoh: Polis menahan seorang lelaki tempatan berkaitan hantaran komen berbaur fitnah menerusi Facebook terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan fitnah berkenaan daripada waris keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

"Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga pemilik akaun Facebook berkenaan di sebuah rumah di Masai, Johor, pada 8 malam Khamis lepas.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang bekerja di sebuah kilang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Naim berkata, suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Dalam kejadian pada 17 Mei lepas, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut dalam serangan berkenaan.

Selain Ahmad Azza Fahmi, 22, kejadian itu turut mengorbankan Muhamad Syafiq, 24 yang ketika itu masing-masing berpangkat konstabel dan kedua-duanya dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Koperal pada 14 Jun lepas.

Terdahulu, dalam hantaran komen tular di media sosial itu, seorang pemilik akaun menggunakan nama 'Wan Qayyum' dipercayai suspek menulis komen mendakwa mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.

Tiada ulasan: