"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lahanat pengkhianat: SPRM buru pegawai imigresen 'berpengaruh' dalam kes 'counter setting'

Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memburu seorang pegawai imigresen disyaki 'berpengaruh' dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pegawai terbabit dipercayai sudah melarikan diri sebaik saja operasi siasatan kes itu bermula.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya suspek masih berada di dalam negara.

"Dia melarikan diri sebaik saja operasi kita bermula dan berdasarkan siasatan, lelaki ini adalah seorang pegawai imigresen.

"Biarpun tidak berjawatan tinggi, dia dipercayai berpengaruh dalam kalangan anggota di sana (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya pada sesi wawancara bersama media, di sini, hari ini.

SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi 'counter setting'.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas SPRM menahan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, bulan lalu.

Dalam perkembangan sama, Azam berkata, pihaknya menyita beberapa kenderaan mewah dipercayai milik kakitangan penguat kuasa yang disiasat.

Selain itu, beliau berkata, SPRM akan memanggil 46 anggota dan pegawai penguat kuasa agensi berkenaan untuk disoal siasat berhubung kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Tiada ulasan: