"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugut 2 lelaki, pegawai kanan polis didakwa di mahkamah

Suraya Roslan
bhnews@bh.com.my

AMPANG: Seorang pegawai kanan polis didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengugut dua lelaki dengan menghantar gambar pembunuhan kejam menerusi aplikasi WhatsApp, April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Deputi Superintendan K K Ravindhran, 52, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan masing-masing di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top dan Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja membuat ugutan jenayah kepada dua kontraktor elektrik masing-masing berusia 42 dan 50 tahun dengan menghantar gambar menggunakan aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang lelaki dibunuh kejam.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cahaya, di sini pada jam 7.57 petang dan jam 7.58 petang, 27 April lalu.

Susulan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Normaizan dan Amalina Basirah masing-masing membenarkan jaminan RM4,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan bagi dua kes itu pada 16 Oktober untuk serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal dan Norhidayah Abdullah Sani, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Tiada ulasan: