KOSMO
Tangkap layar menunjukkan bayi itu ditemui berpelukan dengan jenazah ibunya di dalam bilik. - Instagram
JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi pilu seorang bayi berusia sembilan bulan, ditemui sedang memeluk jasad ibunya yang telah meninggal dunia sejak tiga hari lalu, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Nabire, wilayah Papua Tengah.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @viral_seleb, bayi yang hanya memakai lampin itu dilihat memeluk jasad tersebut di dalam bilik.
Lebih menyedihkan apabila bayi itu difahamkan terbiar selama beberapa hari tanpa sebarang makanan dan minuman.
Penemuan itu berlaku apabila penduduk tempatan nekad memecahkan pintu bilik sewa si ibu selepas mereka terhidu bau busuk.
Sejurus ditemui, penduduk bergegas memberikan makanan dan minuman serta menukarkan lampin bayi tersebut.
Rakaman itu meraih lebih 233,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Mana suaminya? Bayi itu tidak makan dan minum selama tiga hari!” kata seorang netizen yang marah.
“Adakah bayi itu tidak menangis? Kalau ya, mesti jiran tetangga terdengar bunyi tangisan?” kata netizen lain. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan