V Anbalagan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengarahkan lelaki pekak dan bisu membela diri atas tuduhan membunuh pasangan warga emas dan dua cucu yang ditikam, di kediaman mereka di Tanjong Sepat, Selangor, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Ruzima Ghazali, membenarkan rayuan pendakwaan dan menyatakan kes prima facie berjaya ditimbulkan terhadap Kang Chang Heng, 45.
Keterangan saksi kanak-kanak itu telah disokong, kata Ruzima mengumumkan keputusan sebulat suara mahkamah ketika membenarkan rayuan pendakwaan.
Turut bersidang dalam pendengaran itu Hakim Azman Abdullah dan Wong Kian Kheong.
Ruzima berkata, hakim perbicaraan terkhilaf apabila menolak keterangan kanak-kanak tersebut kerana usianya masih muda.
Kanak-kanak itu secara positif mampu mengenal pasti responden (Kang) di lokasi jenayah, katanya.
Ruzima berkata, keterangan pihak pendakwaan menunjukkan Kang membawa penyiasat menemukan senjata pembunuhan, yang mana dikemukakan sebagai bukti.
Tambahan lagi, Kang berkata dia mengalami kecederaan di lokasi jenayah dan telah menjelaskan perkara itu, katanya.
Chang diperintahkan untuk direman sementara menunggu pelupusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di mana pengurusan kes ditetapkan pada 11 Sept.
Penterjemah bahasa isyarat hadir di mahkamah bagi menterjemah prosiding kepada Kang.
Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syawani Izyan Akhir mewakili pendakwaan, manakala peguam Lim Chin Huat dan anaknya, Jye Kie dan Jye Lie, mewakili Kang.
Kang, pekerja kilang perabot dari Kepong, didakwa membunuh Chia Tee Nang, 73, dan isteri, Lim Mai Shak, 68, selain dua cucu mereka, Ryan Chia, 10, dan Chia Yuan Bin, tiga tahun, di sebuah rumah beralamat Jalan Tepi Laut, di Tanjung Sepat, Selangor, antara 4 hingga 5 pagi, pada 13 Dis 2017.
Kang juga dituduh secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi cucu pasangan itu. Andrew Chia Zeng Haol ketika itu berusia 12 tahun terselamat dalam serangan berkenaan dan memberi keterangan di mahkamah.
Kang ditahan pada 15 Dis 2017, dipercayai mempunyai hubungan dengan anak bongsu pasangan tersebut, yang juga pekak dan bisu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan