"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR lawan KDN, terus terbit akhbar

PKR akan terus menerbitkan akhbarnya Suara Keadilan walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permitnya serta-merta semalam selama tiga bulan.

"Kita akan teruskan walaupun tanpa permit," kata ketua penerangannya Tian Chua kepada 
Malaysiakini

"Kita tidak nampak tindakan (KDN) yang lebih keras daripada menggantung (permit akhbar) kita."

Ditanya sebab KDN bertindak sedemikian terhadap akhbar parti itu dan organ PAS 
Harakah serentak dan secara mengejut, beliau berkata: 

"Saya tidak boleh pastikan alasan (KDN) yang munasabah. 

"Tetapi dalam konteks sekarang, ada pemilihan (Umno), pilihanraya kecil, peralihan kuasa (perdana menteri kepada Datuk Seri Najib Razak), pihak berkuasa cuba menutup ruang penyebaran maklumat."

Tian berkata tindakan kerajaan terhadap dua akhbar pembangkang berpengaruh ini "hanya permulaan" untuk kawalan yang ketat terhadap media. 

Misalnya, katanya lagi, beberapa pengguna Internet dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas dakwaan menghina Sultan Perak.

Tambahnya, tindakan PKR seterusnya akan diputuskan selepas ini.

Sementara itu PAS belum lagi memutuskan tindakan lanjut berhubung penggantungan tersebut. 

Ahli lembaga pengarah 
Harakah dijangka mengadakan satu mesyuarat pada Khamis ini bagi membincangkan isu tersebut, kata pengerusi akhbar itu Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas senario politik yang mendorong penggantungan tersebut, beliau tidak dapat menjelaskan sebab-sebab tindakan mendadak KDN itu. 

"Saya harap kawan-kawan ahli parlimen (PAS) jumpa menteri (dalam negeri), bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku," katanya kepada
Malaysiakini.

Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini dilaporkan berkata KDN tidak senang dengan laporan yang dimainkan oleh kedua-dua akhbar itu yang didakwa "salah, sensasi dan sensitif."

Tambahnya, kementerian bertegas dengan berita-berita yang mengelirukan dan menyemarakkan kemarahan orang ramai
 -malaysiakini-

Tiada ulasan: