"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tiada pendirian isu k'jaan campuran

PAS belum membuat sebarang pendirian rasmi berhubung cadangan kontroversi presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan campuran parti itu dengan BN.

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, isu tersebut yang menjadi ketegangan terbuka antara Abdul Hadi dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih belum diputuskan dalam mana-mana mesyuarat sebelum ini.  

"Saya tiada formula khas untuk meredakan pertikaian dalam parti," kata Mohamad ketika dihubungi 
Malaysiakini

"Hanya mesyuaratlah jalan penyelesaiannya."

Beliau menyifatkan perbezaan kedua-dua pemimpin atasan PAS itu sebagai perkara lumrah dalam sesebuah parti politik.  

hadi awang nik aziz 230708"Krisis yang wujud itu hal biasa. Perbezaan pandangan bukan lambang perpecahan dalam PAS. 

"Kita bukannya berpecah macam Umno sehingga wujudnya Team A dan B," katanya.  

Nik Aziz minggu lalu sudah dua kali menegur Abdul Hadi yang membuat cadangan tersebut tanpa merujuk pemimpin-pemimpin lain PAS, termasuk menteri besar itu sendiri, dan membelakangkan keputusan muktamar di Ipoh tahun lepas.

Sejajar dengan pandangan Mohamad, ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamed Daud Iraqi pula menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai "pandangan peribadinya".  

"PAS hingga kini belum membuat apa-apa keputusan mengenai (cadangan) kerajaan perpaduan itu. Itu cuma pendapat peribadinya sendiri," katanya.  

Menyokong kenyataan mursyidul am, Mohamed berkata PAS memang perlu mengadakan muktamar khas jika cadangan kontroversi itu  mahu dibahaskan dan diputuskan.  

Mohamed juga menafikan perbezaan terbuka Nik Abdul Aziz dengan Abdul Hadi menunjukkan keretakan antara kedua-duanya.  

"Tiada keretakan antara mereka, sebenarnya. Beliau (Abdul Hadi) cuma campak sahaja pendapat itu dan lontarkan kepada semua pihak. 

"Dan, Nik Aziz cuma memberikan pandangan balasnya," katanya.  

"Ia bukan hal besar sangat untuk dilihat sebagai lambang perpecahan."

Sementara seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, yang enggan dikenali, juga bersetuju dengan pandangan Mohamed yang menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai "pandangan peribadinya" dan cadangan itu perlu dibahaskan di peringkat dalaman parti dahulu.

"Ia tidak pernah dibincangkan di peringkat parti, itu cuma pendapat peribadi presiden. Ia mesti dibincangkan di peringkat parti terlebih dahulu," katanya.  

"Bagaimana suatu pendirian yang bukannya pendirian parti boleh diheboh-hebohkan oleh media? Isu ini sengaja diperbesarkan oleh media untuk pecahbelahkan ahli dan pimpinan parti." 

Tambah sumber, laporan media dalam isu ini cuba menggambarkan wujud perpecahan antara dua pemimpin tersebut menjelang pilihanraya kecil Bukit Gantang, Perak.  

Sambil menafikan wujud dua kelompok besar - promuzakarah dengan Umno dan "kumpulan Erdogan" - dalam PAS, bekas pemimpin Pemuda itu berkata:

"Saya sudah lama berada dalam PAS dan memang media akan menggambarkan perpecahan PAS ini, padahal Umno berpecah lebih teruk, tetapi hal itu tidak didedahkan." 

Mengulas usul PAS untuk mengukuhkan kerjasama dalam gabungan pembangkang, beliau berkata:

"Kita sudah tunjukkan bahawa Melayu, Cina dan India boleh bersatu bawah Pakatan Rakyat tanpa masalah. 

"Jadi, jika bergabung dengan BN, itu menunjukkan bahawa kita akan bergerak mundur ke belakang."

Sementara itu, setiausaha akhbar presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, isu kerajaan perpaduan perlu dinilai mengikut kejujuran Abdul Hadi.  

"Presiden PAS mengetengahkan idea ini untuk difikir, dikaji dan dipertimbang semua pihak. Oleh itu idea ini adalah suatu cadangan, jalan keluar yang sewajarnya difikirkan oleh semua.  

"Ia boleh diterima, dikritik dan boleh ditolak sesiapa saja, apa pun sekurang-kurangnya ia telah dicetuskan dalam realiti suasana politik dan ekonomi yang sememangnya genting dan mencabar buat semua," katanya, yang juga ketua penerangan PAS Selangor, di media rasmi parti 
Harakahdaily.net.
 -malaysiakini-

Tiada ulasan: