"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ZAID: Kenapa saya cadang Nik Aziz...Bahagian II

Zulkifli Sulong dan Hazayani Zakaria. Foto Shukri Mohamad.

Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan agar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi spiritual leader kepada Pakatan. Cadangan ini telah menimbulkan polemik dalam PKR.Kenapa bukan Anwar dan sebagainya.

Datuk Zaid menjelaskan soal ini dalam bahagian II wawancara eksklusif ini.

Datuk membuat dua tulisan dalam blog Datuk tentang cadangan Tuan Guru Nik Aziz sebagai spiritual leader kepada Pakatan. Apa sebenarnya yang bermain di kepala Datuk ketika itu...kenapa tidak Datuk Seri Anwar atau di mana kedudukan beliau ketika Datuk cadangkan Tok Guru Nik Aziz jadi spiritual leader tadi.

Saya perlu jelaskanlah kerana orang Keadilan sendiri pun marah kepada saya (ketawa). Sebenarnya apabila saya membuat cadangan itu saya memikirkan kalau kita nak menang melawan Umno dan BN khususnya kita kena meletakkan isu perlawanan kita di atas satu dasar politik yang bermaruah, berasaskan unsur-unsur etika yang tinggi, unsur-unsur agama yang diterima semua pihak. Kita tidak boleh melawan Barisan Nasional dan Umno dengan duit, dengan menunjukkan kuasa, dengan menunjukkan itu dan ini.Itu politik mereka.

Politik kita melawan orang seperti ini ialah politik ketelusan, politik perjuangan rakyat, yang dapat merangsang rakyat. Jadi saya terfikir kepada India. Kalau perjuangan Parti Kongres India melawan British dengan kekerasan, saya rasa mungkin mereka tidak berjaya dan mungkin membawa porak peranda kepada India.Tetapi mereka melawan atas dasar kemanusiaan Mahatma Ghandi. Tetapi Parti Kongres India tetap dengan kepimpinan yang ada. Misalnya Perdana Menteri, kalau menang nanti ialah Nehru.

Jadi soal siapa menjadi Perdana Menteri, itu soal lain dan saya percaya tidak ada siapa pun nak pertikai kalau Pakatan menang Datuk Seri Anwarlah yang jadi ketua, pada lazimnya. Orang tidak akan bimbang soal Anwar.

Saya pilih Tok Guru Nik Aziz kerana pada saya beliaulah yang melambangkan perjuangan kita. Orang yang tidak mementingkan kekayaan, tidak mengamalkan rasuah, mementingkan nilai-nilai agama dan beliau melambangkan segala-gala yang kita perlu ketengahkan dalam melawan gergasi tua bernama Barisan Nasional ini. Jadi itulah sebab saya cadangkan beliau sebagai 'spiritual leader'.

Tapi orang mungkin membaca saya cuba hendak membuat kenyataan nakal dan sebagainya. Saya tidak ada niat itu. Saya cuma fikir soal Perdana Menteri itu, kita pilihlah di kalangan Ahli Parlimen. Saya yakin Tok Guru pun tidak mahu menjadi Perdana Menteri.Tetapi lambang perjuangan Pakatan ini mestilah berasaskan kepada seorang sekurang-kurangnya kalau tidak dapat memenuhi apa yang saya sebut tadi tetapi beliaulah yang paling dekat ke arah itu.

Jadi inilah reformasi, revolusi Malaysia mestilah berasaskan kepada ini. Jadi saya rasa ini juga satu cara memperkukuhkan PAS kerana akhirnya bagi politik semenanjung, ialah politik Melayu. Jadi pada saya Tok Guru can be anyone dalam Barisan Nasional melihat kepada mesej dan pengaruh. Saya tidak ada niat melagakan sesiapa pun. Oleh kerana saya dah sebut perkara ini, jadi habis di situ sahajalah.

Ekoran daripada isu tersebut mungkin apa yang dibuat oleh Datuk itu menyebabkan Tok Guru Nik Aziz menghadapi pelbagai isu dan masalah yang ditujukan kepada beliau. Adakah itu mungkin reaksi daripada kenyataan Datuk atau cara Umno nak bunuh karektor beliau.

Memanglah Umno sudah lama hendak rosakkan Tok Guru Nik Aziz kerana beliaulah yang memenangkan Kelantan selama 20 tahun. Jadi Umno kena usahalah. Usaha nak jatuhkan Tok Guru Nik Aziz dah berlaku lama. Saya tidak tahulah samaada ada kaitan dengan cadangan saya tadi atau tidak. Tapi apa pun yang Umno lakukan, imej Tok Guru kekal, penghormatan rakyat kepada beliau kekal.

Itulah sebabnya saya kata dalam soal ini Umno akan gagal. Umno boleh menjatuhkan saya, boleh jatuhkan Datuk Seri Anwar dengan memburuk-burukkan kami.Tapi saya rasa dengan Tak Guru susahlah. Umno akan usaha tapi saya percaya imej dan reputasinya kekal baik.


Ketika Datuk masuk ke PKR, Datuk dilihat sebagai pengganti kepada Datuk Seri Anwar, jika apa-apa berlaku kepada Anwar. Akibatnya ada semacam tentangan dalam PKR sendiri. Apa komen Datuk.

Mungkin adalah orang yang tidak senang dengan saya. Tapi sebelum saya masuk PKR dulu pun, saya bagitahu Datuk Seri Anwar bahawa saya tidak mahu terlibat sangat dengan politik dalaman. Saya pun sudah tua. Saya dengan Umno pun sudah 20 tahun. Saya rasa sudah letih. Saya cuma nak melihat Pakatan berjaya.Jadi saya kata, berilah saya peluang untuk memberikan sumbangan.Bagaimana nak satukan parti-parti pembangkang ini untuk lebih kuat.Saya melihat itu sahaja peranan saya.

Jadi soal kepimpinan Parti Keadilan saya tidak pernah masuk sampai ke hari ini. Sebab itu saya bebas. Saya nak kata apa, saya kata sebab saya tidak memikirkan lepas Datuk Seri Anwar siapa...lepas itu sapa.. kerana pada saya kalau Keadilan kuat pun, tapi Pakatan lemah, tak cukup jugak.

Saya lebih suka melihat DAP, PAS, dan kalau boleh parti-parti lain juga yang ada, yang belum masuk Pakatan. Itu cita-cita saya. Kalau boleh ada lagi parti-parti mungkin tak sebesar PAS dan DAP tapi yang menyahut seruan kita, yang memahami dasar kita, samaada di Sabah dan Sarawak bersama-sama kita supaya pakatan ini lebih menyeluruh. Inilah usaha yang sedang saya lakukan dan saya mahu meneruskan kerja itulah. Soal kepimpinan Keadilan saya taidak mahu fikir sangat.

Tiada ulasan: