"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen Hulu Selangor PKR jalani pembedahan lagi

G. Manimaran
PETALING JAYA, Jan 11:
Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, yang awal tahun ini menafikan beliau telah memutuskan untuk melepaskan kerusinya, dimasukkan semula ke sebuah hospital di ibu negara untuk pembedahan susulan.

Beliau yang berhadapan dengan masalah kesihatan berpanjangan, telah menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Pantai pada Sabtu lalu, dipercayai bagi membuang tumbuhan di kepalanya.

Pembedahan itu dikatakan merupakan kali yang ketiga.

“Saya dimaklumkan beliau telah menjalani pembedahan pada Sabtu lalu. Keadaan beliau kini dikatakan stabil dan beransur pulih,” kata Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Saifuddin yang dilantik sebagai setiausaha agung yang baru PKR berkata Zainal masih berada di hospital.

“Beliau masih dirawat di hospital,” katanya.

Difahamkan Zainal diletakkan di Unit Rawatan Rapi selepas menjalani pembedahan selama tiga jam.

Zainal yang bertanding di kerusi Hulu Selangor mewakili PKR dijangka akan berada di pusat perubatan itu kira-kira dua minggu lagi bagi tujuan rawatan rapi dan pemerhatian lanjut.

The Malaysian Insider difahamkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ada melawatnya sebelum beliau berlepas ke luar negara.

Pada 2 Jan lalu bekas timbalan menteri besar Selangor itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau mahu kekal sebagai wakil rakyat bahagian itu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Wakil rakyat itu juga menyangkal bahawa beliau telah meminta Anwar mengumumkan kononnya mahu bersara sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor.

Ketika itu beliau memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau sedang sibuk mengurusakn majlis perkahwinan anak perempuannya yang dijadual untuk diadakan hujung minggu lalu.

Mengulas lanjut spekulasi kesihatannya semakin merosot, Zainal berkata: “Tidak betul, tidak betul... sedikit pun tak betul.”

“Tidak, saya tidak memutuskan untuk meletakkan jawatan. Insya-Allah saya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Nampaknya pengundi-pengundi semakin rapat dengan saya, dan saya pun semakin rapat dengan pengundi kawasan saya. Saya akan terus membantu mereka,” kata Zainal.

Pada Sept lalu Zainal telah menjalani pembedahan.

Cakap-cakap tentang kemungkinan Zainal mungkin letak jawatan sudah kedengaran sejak berbulan lalu.

Jika betul beliau melepaskan kerusinya bakal ada pilihan raya kecil.

Dalam pilihan raya umum lalu Zainal menewaskan timbalan presiden MIC Datuk G Palanival dengan perbezaan 198 undi.
-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: