"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bakar Gereja!' Seru Penceramah Di gambar Ini, Anda Kenal Dia?

Ibnu Hasyim

LELAKI dalam gambar dilapor melaungkan "bakar gereja", muncul sejurus sebelum protes itu bermula apabila selesai solat Jumaat. Demikian diberitahu oleh Pengerusi Anak-anak Muda Islam Selangor (Amis), SD Mohd Johari Yasin seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini.com.

Walaupun begitu, SD Mohd Johari berkata, beliau tidak mengenali individu itu yang berucap semasa protes anjuran Amis di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu. Menurutnya, sewaktu sidang akhbar Amis selepas itu pun, lelaki berkenaan turut hadir dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Suhaimi Shafie'.


Sebelum berucap di protes tersebut, Suhaimi (foto di atas) yang memakai jubah putih, dilaporkan melaungkan "bakar gereja," tetapi laungannya itu tidak diendahkan orang ramai yang beredar dari masjid itu selepas selesai solat Jumaat.

"Saya tidak ada di situ ketika dia berucap. Saya cuma ada semasa sidang media bersama (bekas exco Selangor) Datuk Mokhtar Dahlan," katanya sambil menambah, Suhaimi turut memberi kenyataan dalam sidang media tersebut.

"Saya tidak tahu bagaimana dia tiba-tiba muncul dalam sidang media itu.

"Kami cuma tahu namanya bila beliau ditanya wartawan dalam sidang media tersebut," katanya sambil menegaskan lelaki itu tidak ada kaitan dengan penganjuran demonstrasi itu, yang disertai kira-kira 30 orang.

"Kami ingin tegaskan, dia tidak mewakili kita. Kami tidak tahu dia (mewakili) kumpulan mana. Dia cuma beritahu, dia adalah orang awam yang marah dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Dia juga beritahu kami, dia tinggal di kawasan berdekatan dan merupakan ahli kariah masjid negeri," kata SD Mohd Johari.

Katanya, sebelum demonstrasi itu bermula, lelaki berkenaan meminta untuk berucap.

"Tapi kami nampak dia agresif sangat dan terlalu beria-ria. Kami dapati kenyataannya (dalam ucapan dan sidang akhbar) terlalu agresif dan tidak selari dengan pendirian Amis. Sebab itu kami cepat-cepat hentikan sidang media selepas itu," katanya lagi.

Selepas demonstrasi itu tamat, kata SD Mohd Johari mereka beralih menyertai perhimpunan yang lebih besar di ruang solat utama di dalam masjid negeri itu. Bagaimanapun, beliau mengaku membawa kain rentang yang bertulis "Khalid Samad Peliwat Agama" semasa demonstrasi tersebut.

"Ya, kami yang bawa kain rentang itu," katanya sambil menambah, ia merupakan bantahan kepada ahli parlimen Shah Alam itu yang didakwanya bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. Dalam ulasan di blognnya, Khalid menyatakan pendiriannya bahawa penggunaan kalimah itu di kalangan orang bukan Islam merupakan sesuatu yang "diharuskan."

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pihak berkuasa perlu menyiasat penceramah itu, siapa di belakangnya. Sesiapa yang kenal penceramah itu boleh membantu polis. Tidak perlu guna ISA, walaupun Menteri Dalam Negeri sedia guna akta tersebut, sedangkan PM pula telah memberi jaminan keadaan keselamatan negara terkawal. Sehingga kini penceramah itu dikatakan masih bebas.

Apakah Menteri KDN masih melambat-lambatkan penyelesaian masalah ini walaupun beliau mendakwa sudah mengenalpasti suspek yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati? Rakyat kini tertanya-tanya tentang tindakan lanjut polis terhadap suspek-suspek yang didakwa Hishamudin sudah dikenal pasti itu. Bilakah mereka akan ditangkap dan didakwa dimahkamah? Atau berlaku sama seperti kes perarakan 'kepala lembu berdarah' di Shah Alam tempuh hari?


http://www.ibnuhasyim.com/2010/01/bakar-gereja-seru-penceramah-di-gambar.html

Tiada ulasan: