Mohd Rashidi Hassan
Nama Dato' Chua Jui Meng bukan baru dalam politik Malaysia. Beliau memulakan karier politiknya sejak tahun 1976. Pada tahun 1978 beliau dipilih sebagai pemimpin MCA bahagian Muar. Tahun 1986 beliau menang di Parlimen Bakri. Beliau kekal di kerusi tersebut lebih 22 tahun atau 5 penggal.
Beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden MCA pada tahun 1990 hingga 2005. Pada tahun 1989 beliau dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan. Kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 1990. Kemudian sebagai Menteri Kesihatan pada tahun 1995.
Pada 1 Julai 2005 Chua mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan Presiden MCA menentang Dato' Seri Ong Ka Ting. Pada 2008 beliau sekali lagi bertanding menentang Dato' Seri Ong Tee Keat tetapi tewas.
Pada 18 Julai 2009, Chua keluar dari MCA untuk menyertai Parti KeADILAN Rakyat. Beliau kini dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan.
Berikut adalah wawancara esklusif antara Harakah bekas Menteri Kesihatan itu di kediamannya, di Bukit Damansara, baru-baru ini.
Harakah : Boleh Dato' ceritakan mengenai latar belakang penglibatan dalam politik?
Chua Jui Meng : Latar belakang politik saya bermula pada tahun 1969 sehari selepas peristiwa 13 Mei. Pada masa itu saya bekerja di London sebagai buruh di sana. Saya tidak dapat Biasiswa untuk membiayai pengajian Undang-undang pada masa itu. Saya tiada wang walaupun keputusan (peperiksaan) saya boleh tahan tapi tak boleh masuk ke universiti tempatan di Malaysia, terpaksa ke luar negara.
Terpaksa bekerja sebagai buruh, sebagai waiter dan potter sepanjang lima tahun untuk membiayai pendidikan saya di sana. Itu satu pengalaman yang baik oleh kerana itu saya faham kesusahan orang biasa tak kira apa bangsa.
Pada masa itu selepas Mei 13 1969 (yang berlaku di Malaysia), dalam televisyen ada ditayangkan di London, masa itu ada rusuhan berlaku di Malaysia, ada orang mati, kedai di Kuala Lumpur dibakar.
Ada dua orang Melayu yang kawan dengan saya sebagai penuntut jurusan undang-undang di sana, mereka kawan karib saya, tetapi mereka ini duduk dengan saya sekali di apartmen saya di London, apabila mereka menonton laporan rusuhan 13 Mei, selepas itu (akibat terpengaruh) mereka keluar dari apartment saya tanpa memberitahu atau berkata apa-apa kepada saya .
Ini memberi impak kepada saya, negara yang baik majmuk namun sehingga 13 Mei, kenapa perkara ini terjadi di mana perkauman telah ditegakkan di Malaysia, dan sebenarnya sebelum itu kita semua tak kira bangsa semua berkawan baik, di sekolah saya di Muar saya bersama orang Melayu, Cina dan India, kita semua berkawan baik tak kira dari desa atau bandar, kita semua baik.
Namun selepas Umno isytihar darurat, semua negara ini telah menjadi berlainan, wajahnya bertukar hingga kini kerana perkauman menjadi asas negara.
Adakah sentimen perkauman ini berlaku sampai sekarang?
Ya, sehingga sekarang ini, masih berterusan ini yang digunakan Umno, orang Cina atau India nak buat macam mana? Tiada pembangkang yang berkesan pada waktu itu (1969) untuk menentang Umno.
Sehinggalah tahun lalu (2008) munculnya Pakatan Rakyat yang baharu yang ada kekuatan mencabar Umno, kita tak tunduk kepada kuasa Umno, bukan kuasa orang Melayu tetapi kuasa Umno.
Sejak itu saya minat dengan politik walaupun saya sibuk kerja sebagai buruh ketika itu, saya sertai Kesatuan Pelajar Malaysia-Singapura di UK, dan pada tahun 1970 saya menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Undang-undang Malaysia-Singapura di UK.
Minat saya dah mula dari sana, kenapa negara yang saya cintai ini, saya generasi ketiga di Malaysia tetapi kenapa nasib sudah jadi begini kita semua dikorbankan atas nama perkauman Umno.
Pada masa itu saya tiada pilihan lain, hanya saya ada MCA, takkan saya nak masuk parti komunis? Jadi saya terpaksa masuk MCA, yang mewakili kaum Tionghoa. Saya ceburi MCA sejak tahun 70-an, tetapi kaitan saya dengan politik sejak 1969.
Lebih 30 tahun Dato' dalam MCA, apa yang mendorong Dato' keluar BN?
Saya nampak fajar telah muncul, fajar bukan hanya untuk orang politik sahaja tetapi rakyat Malaysia seluruhnya, sebuah negara yang saya cintai.
Ini satu peluang, saya nampak bagaimana Umno menindas Pakatan Rakyat bagaimana Umno menggunakan cara bagaimana mereka menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Perak yang dipimpin oleh Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dan cubaan di Selangor dan beberapa negeri lain, untuk menindas pemimpin Pakatan Rakyat, ini saya tak boleh terima.
Oleh itu, untuk mempertahankan sistem dua parti di Malaysia dan hak rakyat, cuma Pakatan Rakyat sahaja yang boleh mempertahankan hak rakyat Melayu, Cina dan India, dan bangsa-bangsa lain di Sabah Sarawak.
Berdasarkan prinsip yang saya pegang dalam hati saya sejak 1969, saya sokong Pakatan Rakyat, ia mesti diperkuatkan lagi.
Saya boleh sumbang peranan saya yang pernah jadi anggota pentadbir 15 tahun dalam kabinet, dan lebih 30 tahun dalam MCA dan BN dalam politik. Pengalaman itu dalam kerajaan dalam Parlimen boleh saya gunakan untuk kebaikan Pakatan Rakyat.
Apakah pada pandangan Dato' parti politik berasaskan kaum seperti Umno, MCA atau MIC India tidak boleh lagi diterima rakyat?
Ya, sudah tidak dapat diterima khasnya gokongan muda yang berprinsip. 'Nonsense' jika terus gunakan pendekatan perkauman, MCA bagaimana mereka nak perjuangkan nasib Tionghoa lagi kerana MCA mana ada kuasa?
Mereka ini tak boleh selagi Umno berpegang kepada ketuanan dan dominasi Umnoputra di negara ini. Dan selagi itulah MCA, MIC dan apa sahaja parti dalam BN, semua parti ini (MIC, MCA, PPP, Gerakan dan sebagainya) hanya menjadi hiasan sahaja kepada Umno.
Dato' yakin Pakatan Rakyat boleh bawa perubahan dalam negara?
Saya bersyukur kepada Tuhan Allah sebab pada hari ini orang Tionghoa, Melayu, India sudah buka mata. Mereka sudah pilih Pakatan Rakyat. Saya kesal kerana selama ini, negara dijadikan negara yang berbaur perkauman oleh Umnoputra, ketuanan Melayu yang disorak Umno selamanya, orang Cina pula jadi Cina, lebih dari China, dan sebagainya, ini situasi 'lose-lose' semua kalah, akhirnya oleh kerana negara kita tak boleh maju ke hadapan lagi selagi ada BN.
Dato' ada rasa kecewa tinggalkan MCA?
Langsung tak ada. Ada yang kata kepada saya, terlalu awal lompat, kalau masih dalam MCA, kononnya boleh dapat jawatan tinggi.
Jawapan saya mudah sahaja 'Apa guna saya jadi Presiden atau ada jawatan tinggi dalam MCA, bila saya dah nampak selama ini saya sudah tahu dalam sistem Umno yang kuasai negara ini tiada bangsa boleh maju termasuk orang Cina, Melayu atau India.
Berapa banyak rakyat yang ada kepakaran sudah lari, modal Cina sudah lari dari negara ini, kerana negara ini tiada sistem yang adil dan oleh kerana semuanya berasaskan kepada rasuah. Kalau mahukan projek kena rasuah, lesen boleh dibeli, semuanya berasaskan rasuah.
Saya sebagai seorang Kristian saya amat bencikan rasuah oleh kerana Injil menyebut saya tidak boleh berasuah, anak saya semua Kristian, mereka tidak amalkan rasuah, mereka tahu di negara ini peluang bagi mereka amat terhad oleh kerana mereka tak mahu rasuah kepada orang atasan.
Rasuah ini tidak boleh kerana dari prinsip agama ini sudah salah, Tuhan Allah benci kepada orang-orang yang rasuah, ini adalah satu taraf dosa yang terbesar di dunia ini, tak kira Buddha, Islam dan Kristian sama semuanya membenci rasuah.
Tetapi inilah yang dibuat dan ditegakkan oleh Umno. Dari atas ke bawah semuanya ramai sudah jadi korup termasuk golongan Cina yang buat perniagaan semuanya boleh dibeli dengan wang.
Inikah negara yang kita harapkan menjadi negara maju? Ini mustahil. Sebuah negara yang berasaskan kepada perkauman dan rasuah tidak boleh menjadi sebuah negara yang maju.
Dalam Umno ada politik wang, adakah ini juga berlaku dalam MCA?
Ya dalam MCA pun ada. Ini tak boleh diterima oleh agama, dari segi apa juga agama termasuk Islam.
Saya harap rakyat lihat dan sekaranglah masa untuk membuka minda mereka, janganlah lagi menyokong orang-orang yang sengaja memainkan isu-isu perkauman dan agama untuk pecahbelahkan rakyat.
Umno dilihat campurtangan dalam krisis dalaman MCA, apa pandangan Dato'?
Ini betul, Umno hendak tentukan masa depan MCA supaya mereka dapat kawal. Sejak Umno campurtangan mula kecoh dan makin hancur. Perdana Menteri dan Timbalannya secara terbuka campur tangan hal ehwal MCA.
Sekarang ini MCA berpecah tiga puak sekurang-kurangnya. Takkan MCA ini boleh lagi mewakili Tionghoa, jadi jaguh kepada Tionghoa di negara ini?
Ini mustahil sekarang ini, kerana kepimpinan MCA atasan ini hanya untuk menipu orang
Tionghoa.
Apakah krisis ini menunjukkan MCA tiada masa depan?
Dalam sistem parti dwi-politik ada peluang untuk 'survive', tetapi untuk jangka masa satu atau dua pilihan raya akan datang sukar bagi MCA kerana banyak kerusi mereka akan jatuh, ini risiko mereka.
Kenapa agaknya macam Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai bergaduh?
Kuasa...kerana kuasa. Kerana kuasa masing-masing nak jadi Presiden dan Timbalan Presiden.
MCA diheret dengan skandal PKFZ, apakah Umno juga terbabit?
Ya, ini yang kita nampak. Di dalam air keruh kita tak nampak lagi. Umno memang tidak mahu PKFZ didedahkan terus, akhirnya siapa yang kena dakwa?
Kita ada melihat ada di kalangan pemimpin Umno yang kecil yang didakwa, adakah yang besar ini lepas hanya dengan pendakwaan orang kecil.
Umno yang tak suka PKFZ didedahkan terbuka, bila dapat peluang emas mereka (Umno) campurtangan dan gunakan kuasa Umno, kuasa kerajaan terhadap MCA dan apa jadi kepada
PKFZ?
Umno dah capai matlamat untuk mendiamkan isu PKFZ. Kita tahu Umno tidak mahu berikan orang Cina kaya-raya sahaja, selagi mereka tak dapat peluang emas dari PKFZ macam
sekarang ini.
Sekarang ini mereka siasat orang Cina, kenapa boleh berlaku penipuan berbillion ringgit dalam PKFZ, bagaimana Kementerian Kewangan boleh bekerjasama dengan tauke PKFZ dengan begitu mudah keluarkan wang bila dituntut tanpa penyiasatan yang mendalam.
Cuba tanya kontraktor kecil bila mereka mahu tuntut wang projek daripada Kementerian Kewangan oleh kerana setelah selesai projek, cukup sukar nak dapatkan bayaran, tetapi PKFZ ini begitu mudah.
Adakah ini hanya mengkayakan Tiong Kin Sing sahaja? atau pegawai atasan PKFZ, adakah untuk mereka sahaja? Ini tak masuk akallah.
Dato yakin Pakatan Rakyat boleh memperbetulkan kepincangan dalam negara?
Ya. Kita sudah putuskan dasar bersama, tiga parti dalam Pakatan Rakyat, bukan tujuan kita untuk satu bangsa sahaja tetapi untuk semua bangsa.
Tuhan Allah telah berikan kita membuka mata hati kita termasuk orang bandar yang sudah faham dan kita mahukan orang desa di kawasan terpencil tahu apa yang berlaku kepada negara ini.
Di mana ada keadilan dalam negara? Carilah mana ada orang Melayu yang boleh kaya-raya sama seperti Umnoputra?
Orang Melayu sudah hilang daya saing di bawah sistem yang dimulakan Umno, subsidi. Universiti kita yang patutnya bangunkan Melayu, Cina dan India yang pandai cerdik telah disekat, sedangkan mereka ini boleh bantu kita memajukan ekonomi dan minda rakyat Malaysia.
Selepas 50 tahun, apa nasib orang Melayu biasa, apa nasib orang Cina biasa? Orang India? Yang kaya hanya taukeh-taukeh Umnoputra di kalangan kroninya banyak dapatkan keuntungan dari dasar dan rasuah mereka. Di Muar, saya balik saya marah kenapa orang Melayu masih miskin..
Dalam kemelut keyakinan rakyat kepada Umno-BN ini, apakah yang boleh Dato' sarankan kepada PAS dalam mendapatkan sokongan rakyat?
Ini satu cara yang amat mustahak bagi PAS oleh kerana sekarang ada Pakatan Rakyat yang mana Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya menyatukan tenaga tiga buah parti.
Pada masa ini orang Tionghoa sudah percaya kepada PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz jadi contoh orang agama Islam yang sangat baik di mata orang Tionghoa sebab dia adalah pemimpin Islam yang sangat baik, tidak ada rasuah, sangat sederhana gaya hidupnya, dia dihormati dan tidak berbaur perkauman.
Namun perlu diingatkan jangan ada lagi insiden seperti di Selangor. Kita bimbang orang Cina akan lari bila PAS dilihat ekstrem.
Ini bukan sahaja jejaskan PAS tetapi Pakatan Rakyat, jangan jadi jaguh kaum, ini kena faham, kerana orang Cina ada dua pilihan satunya keluar negara, dan keduanya ada Pakatan Rakyat.
Kita kena insaf bahawa ramai yang sudah berhijrah kerana mereka tidak boleh terima lagi sistem yang diamalkan oleh Umno.
Dulu orang Umno marah pada Tionghoa kerana tak sokong Umno sebelum tahun 1990, orang Cina sokong pembangkang.
Mereka kata baliklah ke Tongsan (China). Sekarang betul-betul mereka balik ke Tongsan di sana ada kekayaan dan bukan main-main kekayaannya, mereka telah ditransformasikan dari sebuah negara yang amat miskin dan menyedihkan, sehingga kini US pun tunduk kepada China.
Umno memecahbelahkan rakyat dan menghina rakyat dengan politik yang paling rendah yang boleh menjatuhkan kecerdikan rakyat. Dasar kerajaan BN yang menindas, Umnoputra ini paling tiada otak, otak paling rendah, mencabar rakyat untuk keluar jika tidak suka dengan sistem yang ada.
Apabila rakyat menolak Umno kerana perkauman dan menyalahgunakan kuasa, maka mereka beralih kepada PAS. Tetapi orang Cina amat harapkan PAS, supaya tidak jadi seperti
Umno.
Apa pandangan Dato' mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh The Herald?
Isu Herald itu sebenarnya isu politk sahaja. Bila munculnya isu ini? Pada tahun 2007 yang, selepas Bersih berjaya membuat berdemonstrasi untuk menggesa kerajaan mengubah sistem pilihan raya dan menuntut hak-hak rakyat, The Herald membuat laporan ekslusif di muka hadapan.
Mereka memaparkan gambar Dato' Seri Anwar Ibrahim dan demonstrasi Bersih. Apa yang dibuat oleh KDN ketika itu? Umno ambil tindakan.
Mereka menambah masalah. Kerana laporan itu menunjukkan ramai orang Kristian sudah menolak Umno dan BN. Isu The Herald asalnya adalah tekanan politik, bukan agama.
Kristian sejak masa silam telah menggunakan perkataan Allah bersama dengan God, Tun Mahathir Mohamad saya anggap dia cerdik pandai, dia kata Orang Kristian guna Tuhan, jangan guna Allah.
Orang Kristian ada di Arab Saudi, mereka gunakan perkataan tuhan ialah Allah, dalam perjanjian lama dan baru ialah Lord (tuhan) God (Allah) diterjemahkana sebagai Tuhan Allah. Kristian adalah agama Samawi menggunakan Allah.
Kenapa Umno lebih pandai dari Nabi Muhammad, lebih Islam kononnya dari Nabi Muhammad. Sedangkan Quran kata boleh guna Allah? Ini tak masuk akal.
Oleh kerana kepentingan politik mempertahankan survival, Umno mempermainkan isu perkauman yang begitu rendah dan mempermainkan hati rakyat termasuk orang Islam.
Apakah Umno dapat menarik sokongan Melayu dengan isu ini?
Umno memang harap, tapi saya fikir orang Islam tidak percayakan Umno sebab orang Islam lebih percayakan Ustaz Hadi (Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) daripada Najib (Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak).
Apa asas Najib di dalam isu-isu agama, Hadi lebih pandai dari Najib dalam isu agama, Hadi kutip apa yang dikatakan dalam Quran, nama Allah digunakan dalam agama Samawi, tetapi Najib kata tidak boleh Jangan api-apikan orang Melayu. Saya seorang Kristian, saya gembira jika orang Islam gunakan nama Isa. Saya tak boleh kata orang Melayu Islam jangan gunakan nama Isa. Injil lama sebelum kemuncukan al-Quran sudah sebut nama Allah.
Saya berterima kasih kepada Ustaz Hadi kerana berani mengeluarkan kenyataan yang benar yang mengikut al-Quran.
Saya minta OIC yang akan bertemu di Beirut tak lama lagi, saya minta Najib pergi sendiri untuk mempertahankan pendirian Umno di Malaysia di sana, kononnya orang Kristian tidak boleh guna nama Allah.
Saya hendak tengok, Najib berdiri depan negara dunia Islam dan katakan orang agama Samawi tidak boleh guna nama Allah. Tengok reaksi dari negara OIC lain, jangan jadi jaguh kampung, menyeleweng apa yang diajar dalam al-Quran.
Kalau PAS boleh pertahankan pendirian sekarang ini dan jangan rendahkan ekspetasi rakyat kepada PAS, PAS akan terus diterima. Saya harap lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin seperti Tok Guru Nik Aziz dan Hadi bangkit di Malaysia iaitu seorang yang beragama mendalam, cinta negara, cinta rakyat pelbagai bangsa dengan ikhlas hati, tolak perkauman dan tolak Umno.
Akhirnya apakah rumusan Dato terhadap peluang Pakatan Rakyat.
Kita mesti memperkuatkan Pakatan Rakyat. Itu adalah asas kepada kemenangan. Jangan ada lagi kes-kes disiplin seperti di Selangor.
Biarlah kita pastikan kita dipimpin oleh orang yang boleh membawa kita kepada kemenangan, yang boleh memimpin kita untuk menang PRU-13.
Ada syaratnya jika nak menang, bagaimana kita pegang kepada prinsip dasar Pakatan Rakyat di mana Melayu, Cina dan India boleh rasa senang di negara ini dengan jika Pakatan Rakyat menang.
Kita juga harus berhati-hari dengan permainan media milik Umno-BN seperti Utusan Malaysia, The Star dan NST yang sentiasa memainkan propaganda dan memanipulasi isu politik, yang akhirnya menyebabkan orang Cina kurang yakin kepada Pakatan Rakyat.
Kita harus berhati-hati dengan permainan ini. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan