"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya hanya ‘askar setia’ PKR, fokus 3 aspek - Saifuddin

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 10: Saifuddin Nasution Ismail, yang dilantik sebagai setiausaha agung yang baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggariskan tiga keutamaan beliau apabila mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Salehuddin Hashim mulai 1 Feb ini.

Dalam reaksi awal kepada The Malaysian Insider, Saifuddin Nasution yang menganggap pelantikan ini sebagai sesuatu yang memang mengejutkan beliau, menyifatkan keputusan terbaru pucuk kepimpinan sebagai “satu kesinambungan tugasan” daripada Salehuddin yang secara rasmi akan berundur 31 Jan.

“Yang pertama ini (pelantikan) adalah satu penerusan tugas yang telah diletakkan asas yang baik oleh setiausaha agung semasa (Salehuddin),” kata beliau ketika dihubungi tengah hari tadi.

“Saya akan menggunakan pengalaman lebih dua dekad dalam pengurusan parti politik untuk mencapai matlamat keperluan penerusan tugas,” kata beliau.

Ketika ditanya faktor yang membawa kepada pelantikan terbaru ini, Saifuddin berkata:

“Saya tidak boleh menjawab soalan ini... tetapi saya merupakan ‘askar’ yang sentiasa setia dan patuh kepada arahan kepimpinan, melakukan apa yang diminta lakukan.”

Saifuddin yang merupakan antara pemimpin awal menubuhkan parti itu, kini menyandang jawatan pengarah pilihan raya PKR dan Ahli Parlimen Machang.

Sehingga pertengahan tahun lalu Saifuddin memegang jawatan pengarah strategi PKR.

Untuk sementara waktu beliau dijangka akan memegang kedua-dua jawatan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas memperoleh komen Saifuddin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata memandangkan masa peralihan yang pendek dan tugas-tugas penting perlu dijalankan segera beliau telah melantik pengarah pilihan raya PKR itu sebagai setiausaha agung baru.

Ketika pelantikannya diumumkan pada mesyuarat Biro Politik semalam, Saifuddin secara kebetulan membentangkan kertas kerja berkenaan dengan program PKR sepanjang tahun ini untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Mengenai keutamaan kedua, Saifuddin berkata, beliau akan berusaha keras untuk memperkemas dan memperkuatkan PKR sebagai komponen gabungan Pakatan Rakyat.

“Keutamaan ketiga ialah mempersiapkan PKR menjelang pilihan raya umum akan datang... mengutamakan agenda pilihan raya.

“Tugasan baru ini berkaitan dengan usaha membina jentera pilihan raya yang mantap menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya.

-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: