"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ragut: Seorang lagi mangsa ragut maut

AMPANG JAYA: Seorang mangsa ragut yang mengalami kecederaan parah akibat ditikam peragut dikatakan sempat menelefon abangnya sebelum meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang di Jalan Nipah di sini, mangsa, Tan Chun Kee, 25, maut selepas ditikam beberapa kali di badan, termasuk dada sebelum dompetnya dilarikan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ketika dalam perjalanan bertemu abangnya berhampiran tempat kejadian, petang kelmarin.

Tan yang bekerja di sebuah bank dikejarkan ke Hospital Pakar Gleanegle sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dia kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi semalam.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang tinggal di Taman Sri Gombak, dekat sini, baru saja menuruni LRT dan berjalan menuju ke lokasi tempat kerja abangnya.

Dia dikatakan diekori seorang lelaki yang kemudian meragut dompet mangsa sebelum suspek menikamnya beberapa kali dalam cubaan melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah dikatakan sempat menelefon abangnya yang berada kira-kira 200 meter untuk memaklumkan kejadian terbabit.

“Terkejut dengan keadaan itu, abang mangsa yang berumur 28 tahun bergegas ke tempat kejadian mendapati badan adiknya penuh dengan darah dan terus dikejarkan ke hospital pakar berdekatan sebelum dirujuk ke HKL.

“Kecederaan teruk menyebabkan mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi. Hasil siasatan mendapati mangsa ditikam menggunakan objek tajam dan sebarang senjata tidak ditemui di lokasi berkenaan,” katanya.

Abdul Rahim Hamzah berkata, polis mengklasifikasikan kes terbabit bermotifkan jenayah ragut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-hmetro.com-

Tiada ulasan: