"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam SPRM Kurang Ajar

Prosiding inkues setiausaha politik Teoh Beng Hock di Shah Alam hari ini menjadi tegang apabila peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mempersenda ketidakupayaan fizikal peguam Karpal Singh.

Dalam prosiding itu, Datuk Abdul Razak Musa, mewakili SPRM, telah berkata "saya boleh duduk tetapi kamu tidak boleh berdiri" kepada Karpal yang berkerusi roda.

Kenyataan itu mencetuskan pertikaman lidah serta menimbulkan kemarahan Karpal dan anaknya Gobind Singh dan mendesak mahkamah untuk mengeluarkan perintah terhadap Abdul Razak kerana menghina.

Koroner Azmil Muntapha Abas bagaimanapun memutuskan tidak mengenakan perintah ke atas Abdul Razak kerana menghina setelah mahkamah menerima permohonan maaf peguam itu dan memberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Abdul Razak mengeluarkan komen tersebut setelah Karpal, yang mewakili abang mendiang, Teoh Meng Kee, menghalangnya beberapa kali daripada membuat bantahan dan mengarahkannya duduk.

Abdul Razak ingin membuat bantahan terhadap kenyataan Karpal yang mendakwa Teoh mati dibunuh dan terdapat kemungkinan penglibatan pegawai-pegawai SPRM dalam kejadian itu.

Karpal bagaimanapun enggan menerima permohonan maaf itu dan mendakwa ia dibuat dengan tidak ikhlas, serta mendesak koroner supaya mengeluarkan perintah 'kerana menghina mahkamah'.

Koroner Azmil sebaliknya hanya memberikan peringatan kepada Abdul Razak dan mengarahkan supaya prosiding inkues diteruskan dengan mendengar hujah Karpal berhubung permohonannya untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap dua pegawai SPRM.

Karpal yang tidak berpuas hati dengan keputusan koroner itu enggan meneruskan prosiding inkues.

Beliau memohon supaya Abdul Razak dikenakan denda RM150 dan penjara sehari kerana kesalahan menghina mahkamah di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi pihak kerajaan Selangor, berkata mahkamah patut mengambil berat isu tersebut kerana ia menyentuh sikap Abdul Razak yang tidak sensitif ketika mengeluarkan komen tersebut.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh bersambung Jumaat depan.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada pengerusi jawatankuasa tetap kampung baru dan pengurusan kilang haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan sama.
-Bernama-

Tiada ulasan: