"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid: Jelaskan isu, bukan beri ugutan

Rahmah Ghazali
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu mengemukakan penjelasan bagi membolehkan masyarakat faham mengenai larangan kepada bukan Islam menggunakan kalimah Allah, kata ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

"Saya harap penjelasan atas isu ini dibuat secara ilmiah dengan segala dalil dan hujah yang jelas dan terang.

"Itu kaedah yang lebih bersesuaian dengan tuntutan Islam," katanya ketika diminta mengulas amaran keras yang dikeluarkan kenyataan pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi semalam.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Mohamed Khusrin memberi amaran keras kepada Khalid supaya berhenti mempertikaikan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan isu penggunaan kalimah Allah.

Beliau mengulas kenyataan Khalid sebelum itu yang menggesa Jais dan Mais menubuhkan parti politik kerana menyertai satu protes yang diadakan pada 8 Januari lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Mohamed Khusrin juga dilaporkan mengancam untuk mengambil tindakan mengikut bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 ke atas golongan yang melanggar keputusan Mais atau mufti berhubung isu tersebut.

Mengulas perkembagan itu, Khalid berkata, kaedah ugutan dan paksaan seperti yang dibuat oleh Mohamed Khusrin itu, tidak lagi berkesan dalam menyampaikan pandangan kepada umum.

"Itu bukan cara yang boleh jelaskan isu tapi hanya cara yang ingin memaksa sesuatu pandangan ataupun tindakan ke atas pihak yang lain dan kaedah ini tidak lagi sesuai.

"Ia mungkin kaedah yang sesuai pada zaman kerajaan BN dulu, di mana sememangnya tak ada hujah atau dalil dan jawapan mereka seperti biasa adalah amaran yang keras," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, Jais dan Mais perlu berpijak di atas bumi nyata dan sedar perubahan yang berlaku ke atas masyarakat pada masa kini.

"Kita tidak lagi tertarik dengan kaedah amaran dan ugutan tapi ingin kaedah penjelasan dan penerangan," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah penerangan itu digunakan oleh pemimpin PAS yang mampu mengemukakan pandangan berbeza, berdasarkan hujah yang lengkap dengan dalil.

"Walaupun saya dan beberapa tokoh agama termasuk (mursyidul am PAS) Nik Aziz dan (presiden parti) Hadi Awang telah kemukakan pandangan yang berbeza, tapi hujah kami lengkap dengan dalil.

"(Jadi) harap Jais jawab dengan kemukakan hujah-hujah yang sebaiknya, bukan berikan amaran itu dan ini," katanya lagi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: