"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Selangor mahu kerajaan negeri halang bukan Islam guna kalimah ‘Allah’

SHAH ALAM, Jan 11: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kerajaan negeri teguh dengan pendirian menghalang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain bagi memelihara akidah umat Islam.

Baginda turut menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membincangkan dengan teliti mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Dis lalu yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald.

Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa memberitahu, baginda bertitah demikian ketika beliau bersama Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Peguam, Datuk Salehuddin Saidin menghadap Sultan Selangor berhubung isu berkenaan 5 Jan lalu.

Baginda turut menitahkan supaya Mais memaklumkan kepada rakyat bahawa terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah dalam memerihalkan agama bukan Islam, kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Mais yang diadakan bagi membincangkan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan di sini, semalam.

Terdahulu 4 Jan lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri boleh menghalang pihak yang menggunakan nama Allah dengan tujuan merosakkan Islam.

Sehubungan itu, Mais berharap agar Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi mempertahankan Islam.

“Mais merafak sembah Seri Paduka Baginda untuk menggunakan kuasa yang sedia ada di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu ini.

“Campur tangan Raja-Raja Melayu dalam urusan ini amat diperlukan kerana ia bukan sahaja menyentuh bidang kuasa Raja-raja dalam agama Islam tetapi juga sensitiviti umat Islam,” katanya.

Mohamad Adzib berkata, Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak polis akan menguatkuasakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di kalangan orang Islam.

“Enakmen berkenaan yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa kalimah Allah hanya boleh diguna oleh umat Islam sahaja.

“Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf Mahkamah Syariah untuk mendengar kes berkaitan Islam manakala Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Mais akan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi selepas permohonan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (Main) untuk mencelah di dalam kes berkenaan ditolak.

“Penolakan permohonan Main adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri yang memperuntukkan Majlis sebagai pihak berkepentingan dalam mempertahankan Islam.

“Mais menyeru kepada Main yang lain untuk sama-sama merayu atau mencelah di dalam kes ini demi mempertahankan Islam,” katanya.
-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: