"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Rani dialog dengan gereja, tawar khidmat Pemuda PAS

Ismail Hashim
KLANG, 15 Jan:
Ekoran isu penggunaan nama Allah dan kejadian membakar gereja di seluruh negara, usaha merapatkan hubungan antara agama Islam dan Kristian nampaknya bergerak dari atas sampaikan ke bawah. Semalam Adun PAS dari Meru, Klang, Dr Abdul Rani Osman melawat dan berdialog dengan pemimpim gereja.
(Gambar: LAMBANG PENYATUAN...Dr Rani bersama Manikavasagam bersalam dengan Pastor Lau sebaik selesai berdialog di Gereja Glad Tidings Assembly di Kelang, semalam)

Dr Abdul Rani Osman meminta semua penganut agama jangan bimbang untuk melakukan amalan di tempat ibadat mereka masing-masing.

Dr Rani berkata inilah yang dibenarkan oleh Islam malah Perlembagaan negara juga memperuntukkan begitu kepada rakyatnya.

Perkara ini telah dibuktikan berjalan dengan baik sebelum ini sehingga ada pihak mengeruhkan keadaan.

Jika ada kebimbangan melaksanakan tuntutan agama, beliau memberi jaminan memberikan tenaga Pemuda PAS di kawasannya untuk tampil menjaga keharmonian masyarakat jika diperlukan.

Beliau yang juga YDP PAS Kawasan Kapar berkata demikian ketika bercakap di dalam majlis meraikan kunjungannya di Gereja Glad Tidings Assembly dan Gereja Our Lady of Lourdes dekat sini, petang semalam.

Menurutnya, PAS menghormati kebebasan semua penganut agama selain Islam mengamalkan agama mereka kerana sikap ini telah dibuktikan oleh pemerintahan Islam sejak zaman berzaman.

Dr Rani turut menyebutkan bagaimana di zaman pemerintah Khalifah Saidina Omar, Masjidil Aqsa diperintah oleh Islam di mana terdapat sebuah gereja di sebelahnya yang mana kuncinya dipegang oleh orang Islam sehingga kini.

(Gambar: Paderi Dr John Gnanapiragasam sedang mendengar dengan teliti ucapan Dr Rani di Gereja Our Lady of Lourdes)

“Sebab itulah PAS yang berpegang teguh dengan ajaran Islam mengutuk keras mana-mana pihak yang terlibat di dalam kejadian merosak serta membakar gereja dan kuil ekoran dari isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

“Saya yakin jika semua penganut agama kembali kepada ajaran mereka, nescaya masyarakat kita aman, kerana tidak ada agama yang menyuruh penganutnya melakukan kejahatan,” tegasnya.

Di Gereja Glad Tidings Assembly, rombongan Dr Rani bersama Ahli Parlimen Kapar, Manickavasagam disambut oleh Pastor Lau Moong Som, Pastor Mark, Setiausaha, Rebecca dan pimpinan gereja lain dalam suasana mesra dan harmoni.

Begitu juga di Gereja Our Lady of Lourdes pula oleh Rev. Dr John Gnanapiragasam dan pengurus, Helen.

Kedua-dua pimpinan gereja itu mengucapkan terima kasih atas kunjungan hormat pimpinan PAS itu ke tempat ibadat mereka dan memberi jaminan mereka tidak memaksa orang lain untuk menganut agama mereka.

“Saya ucapkan terima kasih atas kesudian Dr Rani mempelawa kami untuk menjalin kerjasama di dalam menjaga keamanan masyarakat setempat,” tegas Lau ketika memberikan ucapan balasnya di dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Helen pula berkata, terdapat sukarelawan yang melakukan kerja-kerja pemantauan keselamatan gereja mereka dari berlakunya sebarang unsur negatif.

Di dalam kunjungan itu juga, rombongan Dr Rani telah dibawa melawat keadaan di dalam tempat ibadat di kedua-dua gereja berkaitan.

Tiada ulasan: