KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ia merupakan kejayaan menakjubkan yang dicapai Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, apabila beliau berjaya mengharungi pelbagai rintangan satu persatu sebelum beroleh kemenangan akhirnya semalam, menjadi presiden parti MCA selepas menumbangkan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.
Walaupun selepas meletak jawatan sebagai menteri kesihatan dan berundur daripada semua jawatan dalam parti pada bulan Januari 2008 ekoran tercetus skandal DVD seks, beliau berjaya “kembali” ke arena politik nasional dalam pemilihan parti Oktober 2008.
Ketika itu Dr Chua berjaya menumbangkan setiausaha agung parti Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang juga abang kepada presiden parti Tan Sri Ong Ka Ting dalam pertarungan empat penjuru.
“Walaupun berada di luar daripada jentera pentadbiran kerajaan, dan tanpa sebarang kedudukan dalam parti di peringkat nasional, Dr Chua berjaya menewaskan Ka Chuan dan tiga lagi calon ketika itu,” kata seorang penyokong Dr Chua dari kawasannya di Johor.
“Kali ini dia tampil kembali, berentap dalam pertarungan yang cukup sengit dan menumpaskan Ka Ting serta penyandang, Tee Keat. Dia menumpaskan Ong dua bersaudara yang dianggap kuasa dominan dalam parti. Dia juga berjaya menewaskan penyandang presiden,” tambahnya.
Sementara itu Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berjaya mempamerkan kehebatannya pada pemilihan ini apabila beliau dipilih sebagai timbalan presiden, menewaskan seorang lagi bekas naib presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Tidak ramai yang yakin dengan kemampuan Liow pada mulanya kerana ramai yang menganggap bahawa Kong menjadi pilihan. Bagaimanapun nampaknya Liow berjaya mengatasinya,” kata seorang perwakilan dari bahagian Bentong.
Pemilihan bagi jawatan dalam jawatankuasa pusat pula menyaksikan keputusan yang bercampur, dengan penyokong Dr Chua memperolehi dua dari empat jawatan naib presiden menerusi Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Datuk Donald Lim.
Dua lagi terdiri daripada Datuk Chor Chee Hueng yang dikatakan menyokong Ka Ting, dan Gan Peng Shieu yang merupakan penyokong Tee Keat.
“Jika dilihat kepada senarai anggota jawatankuasa pusat, jelas tiada corak tertentu. Mesejnya jelas bahawa perwakilan tidak mahu satu-satu pihak tertentu menjalankan peranan mereka secara sendiri. Mereka percaya pemimpin kali ini tidak boleh memainkan peranan yang boleh memecah belahkan parti, kerana perwakilan boleh melihat dengan jelas siapa yang mahukan perpaduan dan siapa yang ingin memecahbelah parti,” kata Dr Ng.
Dari segi pemilihan anggota CC, ia menyaksikan campuran antara tiga pihak dengan sekurang-kurangnya 12 daripada mereka dikatakan menyokong Ka Ting, lapan penyokong Dr Chua dan lima lagi penyokong Tee Keat.
Ia termasuk Ka Chuan, yang dipilih menganggotai CC selepas kalah dalam perebutan ke jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti lepas kepada Dr Chua.
“Dua daripada tiga anggota CC yang menerima undi tertinggi adalah dari kalangan mereka dikenali mempunyai hubungan dengan Tee Keat. Oleh itu satu perkara yang menarik untuk melihat bagaimana presiden parti yang baru dapat menyusun semua mereka yang berjaya dipilih menganggotai untuk bekerjasama sebagai satu pasukan,” kata satu sumber dalaman parti.
Namun begitu walaupun memiliki jumlah anggota CC yang kurang menyokongnya, presiden parti masih mempunyai hak mutlak untuk melantik lapan lagi anggota jawatankuasa itu.
Bagaimanapun bagi kebanyakan penganalisis politik, adalah satu perkara yang menarik untuk melihat siapa yang akan dilantik oleh Dr Chua sebagai setiausaha agung, bendahari agung dan setiausaha penganjur nasional.
Ini kerana semua tiga pemegang jawatan semasa — Datuk Wong Foon Meng (setiausaha agung), Tan Sri Tee Hock Seng (bendahari agung) dan Simon Lim (setiausaha penganjur) dilantik oleh Tee Keat.
“Ada desas desus mengatakan bahawa Datuk Seri Tan Chai Ho dijangka menjadi calon untuk jawatan setiausaha agung sekiranya Dr Chua memutuskan untuk tidak mengekalkan pemegang jawatan sedia ada,” kata satu sumber dalaman parti.
Selain itu adalah perkara menarik juga untuk melihat sama ada ketua pergerakan wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun akan mengotakan janjinya sebelum ini, yang beliau akan meletak jawatan sekiranya Dr Chua dipilih sebagai presiden parti.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan