Anak Rantau Melaka
MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sudah menghebahkan kepada media, Hentian Puduraya akan ditutup selama empat bulan untuk kerja-kerja meningkat taraf hab pengangkutan awam itu mulai 19 Mac; tetapi mengapa tiba-tiba ia dibatalkan pula.
Seluruh ‘kampung’ sudah heboh, tetapi ‘ tiba-tiba tidak jadi kahwin’ pula? Maka berterusanlah Hentian Puduraya menjadi tumpuan warga kota berpendapatan rendah dan sederhana serta perantau bagi mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam. Tetapi apa sudah berlaku berikutan pengumuman terburu-buru menteri berkenaan?
Tinjauan mendapati sejumlah premis perniagaan sudah ditutup; antaranya kedai buku dan pakaian. Malah autoteller seperti CIMB, Maybank dan Bank Rakyat pun sudah ditutup. Ada peniaga sudah memindahkan barangan mereka, dengan sampah memenuhi lantai kedai. Sebelum pengumuman terbaru ini, seorang peniaga buku yang ditemui berkata dia akan terus berhenti daripada berniaga kerana tidak sesuai berniaga buku di stesen bas sementara yang dicadangkan di Jalan Galloway , tidak jauh daripada Ibu Pejabat Kontijen Polis di Jalan Hang Tuah.
Kerja-kerja pembinaan berterusan berhampiran Platform 1 manakala sejumlah tangga yang menuruni platform ditutup dengan kayu pemidang. Kerja-kerja ini mendatangkan ketidakselesaan kepada penumpang. Orang ramai dan peniaga yang ditemui menyatakan rasa terkejut dengan pengumuman baru itu. “Apa ni, kejap kata tutup, kejap kata tak jadi pula?” luah seorang penumpang yang kesal dengan sikap agensi kerajaan terutama menteri wilayah.
Uda Holdings Berhad yang menyelenggara hab pengangkutan awam berusia hampir 40 tahun itu, berkata penangguhan itu dibuat selepas mesyuarat antara pihaknya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
Jika di Hentian Puduraya, peniaga, orang awam termasuk penumpang terganggu dengan ‘cerita tak jadi kahwin’ itu, tinjauan di stesen bas sementara Jalan Galloway menunjukkan pelbagai prasarana sudah disediakan. Sebuah lapangan besar sudah dibina, demikian juga khemah lengkap dengan kipas dan lampu malahan sebuah tangga dibina menuruni bukit berhampiran stesen monorel Hang Tuah.
Berapa banyak kos sudah dihabiskan di Puduraya, kini ditambah lagi dengan kos pembinaan stesen bas sementera Jalan Galloway. Takkan wang dihamburkan begitu saja bagi memuaskan hati PM Dato’ Seri Najib Tun Razak yang tidak puas hati dengan keadaan Puduraya selepas beliau melawat hentian itu awal tahun lalu?
Kedudukan stesen bas sementara itu terletak di kawasan sesak. Biasanya di Jalan Hang Tuah berlaku kesesakan lalulintas amat teruk. Di tepi jalan itu sudah dipasang papan tanda jalan bahawa sebuah jejambat akan dibina melepasi persimpangan Jalan Hang Tuah-Jalan Pudu. Apabila kerja-kerja pembinaan dijalankan kelak, tentulah kawasan bertambah hiruk pikuk malah mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
Demikianlah betapa rakyat golongan kebanyakan terpaksa menerima kepahitan akibat perancangan pihak berkuasa yang tidak berpandangan jauh. Disebabkan kebanyakan pengguna adalah daripada golongan bawahan, mereka tidak peduli dengan arahan mereka yang tidak tepat itu. Seolah-olah rakyat dipermainkan saja lagaknya oleh pihak berkuasa. Rakyat bagaikan bola yang boleh disepak dan diterajang begitu saja.
Jika rakyat ‘dihayun’ sebegitu di Hentian Puduraya, kebanyakan pihak diam saja; tetapi apa kata dibuat ‘cerita kejap tutup kejap tidak tutup’ ini di KLIA, bagaimana agaknya reaksi menteri dan orang-orang besar. Ringkasnya, rakyat kebanyakan menderita ‘tak pa’, jangan orang kaya dan VIP yang kerap menggunakan KLIA itu, mereka perlu dijaga dulu, kini dan selamanya.
Berdasarkan apa yang berlaku di Hentian Puduraya, slogan muluk ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ hanya bahan gorengan saja. Hairan juga, slogan ini banyak diletakkan di sepanjang susur gajah antara Hentian Puduraya dan stesen LRT Plaza Rakyat, sedangkan keadaan bangunan Puduraya dan Plaza Rakyat yang pernah siap-siap itu, membayangkan di mana kedudukan rakyat.
Bukan saja konkrit Plaza Rakyat terbiar karat, lantai susur gajah itu sudah berlubang-lubang, menunggu masa untuk membaham mangsa pertama! Mungkinkah rakyat didahulukan untuk ke kubur?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan