Begitulah kata-kata Felix Tai, seorang penuntut di Brigham Young University (BYU) of Hawaii, Amerika Syarikat kepada penulis ketika ditemui di Perkampungan Samoa, Pusat Kebudayaan Polynesia (PCC) di Laie, Hawai, baru-baru ini.
Sepanjang perbualan bersama penulis, Tai hanya bertutur dalam bahasa Malaysia. Ini menunjukkan cinta beliau terhadap bahasa tersebut.
Tai, 23, penuntut tahun kedua Pengajian Pelancongan dan Hospitaliti di BYU berkata beliau akan bertutur dalam bahasa Malaysia setiap kali terserempak rakan senegara yang mengunjungi pusat tersebut.
Beliau bekerja secara sambilan di pusat tersebut.
Anak kedua daripada tiga beradik, Tai berasal dari Taman Seri Watan, Ampang, Selangor. Beliau sangat fasih bertutur dalam bahasa Malaysia walaupun saban hari hanya bercakap dalam bahasa Inggeris sama ada di kampus atau pun di tempat kerja beliau.
Ditanya kenapa mengucapkan salam semasa terserempak dengan penulis, katanya itulah cara orang Islam menyapa.
"Saya dah pergi ke beberapa negara. Adat serta budaya adalah antara perkara yang saya belajar di semua tempat itu. Saya diajar dan dididik ibu bapa saya menghormati orang lain.
"Jadi, sebab itulah saya memberi salam. Saya percaya bahawa kita semua sama, setiap orang di dunia ini ada persamaan. Hanya bahasa, budaya dan bangsa yang berbeza tetapi selain itu, kita semua sama," tegas Tai.
Ketika Tai memberi salam buat pertama kali ketika terserempak dengan penulis, penulis pada mulanya tidak menghiraukan kerana pada lazimnya petugas di tempat tarikan pelancong atau penduduk di sesuatu kawasan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan memang mengetahui banyak bahasa asing.
Mungkin kerana mereka telah berjumpa dengan pelbagai bangsa dari seluruh dunia.
Tetapi apabila penulis dan rakan memasuki Perkampungan Samoa dan diberikan salam barulah kami menyedari bahawa beliau adalah rakyat Malaysia yang memang mirip wajah dan bentuk badan orang Samoa.
Tai memang mengetahui kami adalah rakyat Malaysia kerana beliau terdengar kami bercakap Bahasa Malaysia semasa berjalan-jalan melihat perkampungan di pusat itu.
Beliau berketurunan campuran India dan Cina dan anak seorang jurutera manakala ibunya Dolly, 48, seorang surirumah. Sebelum melanjutkan pengajian ke BYU, beliau melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarela yang membawanya ke beberapa negara asing.
-Bernama-
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan