"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gerabak: PAS gesa PAC bertindak segera

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 13 Julai:
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengambil tindakan segera berhubung proses rundingan di antara kerajaan dan syarikat kereta api Zhuzhou Electric Co Ltd Lokomotif China.

Hal ini kerana jelasnya, meskipun kerajaan telah membatalkan kontrak lama dengan Zhozhou, namun ianya disambung kembali dengan nilai pembelian yang semakin bertambah.

"Kontrak yang lama memang telah dibatalkan tetapi lebih malang setelah dibatalkan, ianya diberikan kembali kepada syrikat yang sama, Zhouzhou.

"Dulu Zhouzhu tawarkan harga sebanyak RM14 juta untuk tiga gerabak tetapi sekarang sebanyak RM48 juta untuk enam gerabak sedangkan tidak ada perbezaan di antara tiga gerabak dengan enam gerabak, kecuali penambahan kamera litar tertutup dan slight presentation, material lain semuanya sama. Mengapa sampai meningkat ke RM48 juta?" jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di lobi Parlimen semalam.

Dzulkefly menjelaskan demikian sebagai mengulas reaksi bekas menteri pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat di blognya yang menganggap wakil Pakatan Rakyat lebih banyak melemparkan tohmahan dan hujah tidak berasas sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat tentang pembelian 38 Electric Multiple Unit (EMU) 6 koc.

Beliau berkata, harga yang ditawar itu tidak termasuk pakej penyelenggaraan, baik pulih dan overhaul (MRO).

"Harga 38 EMU tidak termasuk selenggaraan, perbaikan dan overhaul (MRO) pakej. Kerajaan perlu berunding dan mendapatkan harga untuk EMU beserta pakej MRO," katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan dahulu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi kepada General Electric (GE) untuk GE Blue Tiger lokomotif, yang yang juga tidak disertakan dengan pakej MRO.

Sehubungan itu, beliau meminta PAC mengambil tindakan sebelum LOA dikeluarkan dan menyenarai hitamkan syarikat tersebut yang ternyata mengaut keuntungan yang terlalu tinggi.

"Justeru saya menggesa PAC mengambil tindakan sebelum LOA ini dikeluarkan. Apabila keluar surat tawaran, kerajaan sudah tidak boleh tarik balik," katanya.

Beliau juga kesal kerana rundingan berkenaan tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Pengangkutan tetapi hanya mendapat arahan daripada Kementerian Kewangan.

Tiada ulasan: