"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aminulrasyid: Keluarga saksi utama marah polis

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 13 Julai:
Kaedah siasatan polis ke atas saksi utama kes Aminulrasyid Amzah, Mohd Azamuddin Omar menimbulkan rasa tidak puas hati keluarganya.

Mohd Haafizuddin Omar, 24, abang saksi utama pagi tadi mempersoal tindakan polis mengarahkan adiknya, Azamuddin melakukan kawad cam ke atas beberapa suspek pembunuh Aminulrasyid, 15, Selasa lepas.

"Kita nak tahu, kenapa nak buat kawad cam lagi sedangkan pegawai yang menembak kawan adik saya itu sudah dikenal pasti," soal beliau ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.

Menurut beliau, sepatutnya pihak berwajib boleh mengenal pasti beberapa pegawai polis lain yang terbabit dengan terus menyiasat suspek terbabit.

"Kenapa tak siasat terus dan polis sudah ada suspek bukan," tegas beliau yang juga kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Undang-Undang, TNB.

Tambahnya lagi, kaedah siasatan polis itu turut dipertikai oleh bapa kepada saksi utama sendiri, yang kebetulan seorang pegawai polis.

"Takkan dia (suspek) seorang saja terlibat, kereta polis yang kejar-mengejar pun ada dua (kereta), logikkah seorang saja yang terlibat," ujar beliau memetik kenyataan bapanya, Omar Jamaluddin.

Melihat layanan yang dialami oleh saksi utama, beliau menganggap pihak polis tidak berniat memberi keadilan hak kepada keluarga Aminulrasyid serta adiknya sendiri.

Ekoran itu, beliau bertekad mendedahkan beberapa bukti lain 3 petang ini di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di Worldwide Business Center, Shah Alam.

26 April lalu, Aminulrasyid ditembak oleh polis di selekoh berdekatan kediaman arwah, Syeksyen 11, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada suatu kenyataan menuduh arwah sebagai suspek penjenayah; lalu disokong oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Tan Sri Musa Hassan (Ketua Polis Negara).

Sedangkan pasukan peguam bagi keluarga Aminulrasyid yang diketuai oleh N. Surendran mendakwa polis membunuh arwah.

Kabinet Perdana Menteri kemudiannya merakamkan takziah ekoran keluarga mangsa dan rakyat lantang mempertikai sikap kerajaan.

Sebuah panel khas turut ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat kes itu.

Hishammuddin di Dewan Rakyat semalam, mengesahkan bahawa kertas siasatan kes itu telahpun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Manakala, dilaporkan kes tembakan arwah akan didengar semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jun depan.

Sekiranya pegawai polis berpangkat korporal serta suspek yang lain didapati bersalah membunuh, mereka bakal menghadapi 30 tahun hukuman penjara dan beberapa denda berwajib mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: