"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Judi coretkan sejarah cemar dan jijik - Nik Aziz

Harakahdaily
KOTA BHARU, 5 Julai:
Tindakan kerajaan cuba menghalalkan judi sukan membuktikan betapa sebahagian pemimpin Umno yang mengemudi kerajaan Pusat itu telah mencoretkan sejarah yang ‘cemar dan jijik’ di sisi maruah umat Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ia menjadi rosak lagi apabila langkah itu dibuat kononnya untuk memenuhi tuntutan orang bukan Islam.

Ianya memalukan apabila munculnya suara tegas pihak bukan Islam, khususnya masyarakat Cina yang menyangkal dakwaan pemimpin Umno bertaraf menteri kerana mengaitkan judi dengan masyarakat Cina.

Nik Aziz berkata demikian dalam tulisan terbarunya melalui blog beliau hari ini.

Menurut beliau, hukum judi itu telah terang dan terbukti haram. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar(arak) dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”
- (Al-Baqarah 2:219)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”
- (al-Maidah 5:90).

Demikian juga, dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, “sesungguhnya Allah mengharamkan kepadaku, iaitu mengharamkan khamar, judi dan al-kubah. Setiap yang memabukkan adalah haram”. (Hadis riwayat Ahmad).

Menurutnya, berlatar belakangkan suasana dan penegasan hukum Islam tersebut, kebelakangan ini telah wujud keadaan seperti berita yang dibaca, hari-hari dimuatkan dengan cerita polis – menangkap penjudi-penjudi bola sepak.

"Ini menggambarkan pihak polis telah hadapi satu bebanan kerja baru kerana terpaksa ‘serbu sana, serbu sini’ untuk mencegah kegiatan judi bola!

"Sebelum ini, kerja polis tidaklah begitu teruk, tetapi sejak timbul cerita judi bola ini, maka bertambah sibuk lagi kerja polis.

"Kenapa jadi demikian, tidak lain kerana ada pihak yang tidak menghiraukan larangan Allah SWT yang telah mengharamkan judi ini," kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam tulisannya itu.

Menurut Islam, judi adalah sama dengan arak. Sama-sama melumpuhkan akal fikiran manusia, tulis beliau.

Kerana judi, katanya, manusia akan jadi tidak waras.

"Wajarlah dalam al-Quran disebut judi sebagai “rijsm” yang merujuk sebagai “najis.” Makna rijsm itu secara khusus merujuk kepada ‘kekotoran dalaman’ sementara najis itu pula bermaksud benda kotor yang keluar dinamakan tahi," katanya.

Atas sifat berjudi, kalau dia dapat hasil (menang), katakan duit maka duit itu adalah duit najis. Makan duit najis sudah tentu akan mengotorkan darah daging dia. Sampai satu peringkat akan turut mengotorkan pemikiran dia, katanya.

"Jelaslah akibat judi, akal fikiran jadi kotor, rosaklah akal fikiran itu. Bila akal fikiran rosak, kesannya berlakulah banyak perkara yang tidak diingini – rempuh orang, bunuh orang, tembak orang dan sebagainya," tambah beliau.

Bagi beliau, cara orang berjudi pun sudah menggambarkan fikiran yang tidak waras.

"Bila berjudi perlu pertaruh duit, katakan seribu atau sejuta ringgit. Letak seletak-letaknya. Kita tak boleh buat apa-apa, hanya menunggu nasib. Tauke judi juga yang kaya," tulisnya.

Bagi beliau, judi tidak sama dengan bertanding pilihan raya.

"Kita letak deposit, kita boleh kempen, jumpa pengundi boleh rayu dan boleh beri penerangan. Kita boleh berdakwah menyampai kebenaran perjuangan kita. Usaha kita boleh diukur sama ada boleh menang atau kalah. Ia tidak berlaku dalam berjudi. Maka, padanlah Allah SWT mengharamkan judi," terang beliau yang sejak sekian lama menyertai pilihan raya.

"Namun, atas semua suasana akibat cadangan meluluskan lesen judi bola itu, kita melahirkan rasa dukacita dengan tindakan orang kita Melayu dan bertaraf menteri pula yang beria-ia meluluskan judi," katanya.

Tindakan itu dilihat semacam mengajar rakyat Malaysia melakukan sesuatu yang melumpuhkan akal fikiran. Sedangkan akal fikiran adalah anugerah berharga yang sangat mustahak digunakan selari dengan kehendak Allah SWT, tambahnya.

"Sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Semoga Allah memberkati ketegasan kita dalam menjalani kehidupan berteraskan agama," tulis beliau.

Tiada ulasan: