"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Wanita UMNO Cawangan tertipu tiket Judi

amkns
Sinar Harian 7 Julai 2010 . TAMPIN – Linangan air mata seorang lelaki warganegara Indonesia dan 'kisah sedihnya' yang tidak mempunyai wang untuk pulang ke negara asal untuk menjenguk ibunya yang sakit tenat berjaya mengaburi mata hati seorang Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan bahagian ini untuk membeli tiket nombor ekor, milik lelaki berkenaan yang didakwa memenangi wang pertaruhan bernilai RM96,000.

Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Din berkata kepada pemberita, kejadian itu berlaku jam 2 petang semalam.

"Ketika itu, isteri berjalan kaki di kaki lima deretan kedai di tengah bandar untuk ke Pejabat UMNO dan kemudiannya dia didatangi lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 40-an.

"Lelaki terbabit kelihatan amat sedih dan menunjukkan sekeping tiket pertaruhan nombor ekor dibeli kepada isteri dengan pertaruhan RM32 dan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM96,000 seperti dipaparkan dalam keratan akhbar yang ditunjukkannya," katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, lelaki Indonesia itu memaklumkan kepada isteri saya bahawa dia tidak boleh menuntut hadiah berkenaan kerana bukan warganegara Malaysia.

"Malah dia tidak segan silu merayu meminta bantuan sebanyak RM10,000 daripada isteri saya dan menyerahkan tiket dimenangi itu untuk menuntut hadiah.

“Dia tidak putus-putus merayu isteri saya supaya memberikan sebanyak mana yang mampu. Katanya, wang selebihnya (menang pertaruhan) disedekahkan kepada isteri saya dan akan menghubunginya sebaik kembali semula ke negara ini," katanya.

Abang Din berkata, termakan dengan pujuk rayu lelaki terbabit, isterinya sanggup memberikan barangan kemas dan buku simpanan bank dalam keadaan seperti terpukau, sekali gus menyebabkan kerugian hampir RM10,000.

Bagaimanapun menurutnya, isterinya tidak membuat laporan polis kerana amat malu dengan kejadian itu, selain merasakan tidak sewajarnya sebagai ahli yang bergiat aktif dalam politik tertipu dengan sindiket perjudian.

“Apa yang lebih meyakinkan isteri saya adalah ketika kejadian, muncul tiga lelaki bertanyakan apa yang berlaku. Sebaik sahaja mendengar cerita, salah seorang daripada tiga lelaki ini bersetuju memberi bantuan sebanyak RM3,000.

“Malah lelaki terbabit akan mengikut isteri saya untuk menunggu di luar premis perjudian untuk mengambil wangnya semula daripada isteri saya," katanya.

Setibanya di kaunter premis pertaruhan berkenaan, Abang Din berkata, isterinya hampir pengsan apabila dimaklumkan tiket diberikan itu adalah palsu dan telah diubahsuai.


"Semua lelaki yang menawarkan bantuan kepadanya lesap begitu sahaja," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang menasihatkan orang ramai terutama umat Islam di daerah ini supaya tidak tertipu dengan pujuk rayu sindiket yang meminta pertolongan menukarkan tiket pertaruhan, didakwa telah memenangi hadiah puluhan ribu ringgit. "Berdasarkan rekod dua tahun lalu, sepasang suami isteri juga telah menjadi mangsa penipuan sindiket seumpama ini. "Mereka sanggup mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji melebihi RM30,000 untuk ditukar dengan tiket yang kononnya memenangi hadiah pertama sebanyak RM130,000," katanya. Justeru, menurutnya, orang ramai diminta berhati-hati berikutan sindiket berkenaan bergerak terlalu licik dengan menyasarkan warga emas atau perempuan yang sarat memakai barang kemas sebagai mangsa.

Tiada ulasan: