"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS kesal Harussani cenderung berpolitik

Harakahdaily
IPOH, 5 Julai:
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak amat kesal dengan tindakan Mufti kerajaan negeri, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihat lebih cenderung berpolitik kepartian dan menggalakkan pergaduhan.

Setiausahanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, pihaknya mendapat aduan yang amat serius bahawa kuliah khas yang disampaikan mufti itu bertajuk “Perpecahan Ummah dan Peranan Kita” pada perjumpaan dengan pelajar Melayu Malaysia di Islamic Dakwah Centre of South Australia pada 9 Jun lalu jelas mengadu-domba.

Katanya, bagi Pemuda PAS negeri, ia tidak sepatutnya berlaku yang mana seluruh rakyat menghormati tinggi peranan sebagai seorang mufti tetapi sebaliknya.

Beliau menyatakan demikian di dalam surat bertarikh hari ini kepada Harussani berhubung perkara itu.

Berikut ialah kandungan surat berkenaan.

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) berasa amat kesal terhadap tindakan Y.Bhg. Tan Sri yang dilihat lebih cenderung berpolitik kepartian dan menggalakkan pergaduhan yang bersifat perkauman.

Untuk makluman Y.Bhg. Tan Sri, pihak kami mendapat aduan yang amat serius kuliah khas Y.Bhg. Tan Sri di sana (Australia) yang bertajuk “Perpecahan Ummah dan peranan kita” jelas mengadu-domba dan tidak sepatutnya berlaku yang mana seluruh rakyat menghormati tinggi peranan sebagai seorang Mufti tetapi sebaliknya.

Di dalam penjelasan isu krisis Negeri Perak juga di lihat Y.Bhg. Tan Sri telah berbohong dengan fakta-fakta yang mengelirukan. Usaha Y.Bhg. Tan Sri kononnya untuk menyatupadukan bangsa Melayu bukannya tiket untuk Y.Bhg. Tan Sri menghukum bangsa lain daripada umat Islam. Sepatutnya sebagai seorang Mufti, peranan besar Y.Bhg. Tan Sri adalah menjelaskan kedudukan sebenar Agama Islam kepada bukan Islam tetapi sebaliknya berlaku.

Kami ingin menasihatkan agar Y.Bhg. Tan Sri agar menghormati seluruh rakyat yang ada di dalam Negara kita sepertimana termaktud di dalam Perlembagaan Negara. Jika Perlembagaan Negara pun Y.Bhg. Tan Sri tidak dapat menerimanya, bagaimana pula dengan perintah yang telah Al-Quran nyatakan. Usaha Y.Bhg. Tan Sri bukan membaiki hubungan dengan semua pihak tetapi merobohkan hubungan yang telah lama terjalin selama ini.

Dengan laporan dan rakaman yang kami perolehi jelas, Y.Bhg.Tan Sri cuba bermain politik sempit ala perkauman dan terpesong jauh dari amanah oleh Tuanku Sultan Perak dalam menyampaikan ilmu dan penerangan akan kebaikan Islam itu sendiri. Sebagai yang diamanahkan juga, kami berharap Y.Bhg. Tan Sri memohon maaf kepada rakyat Perak atas keterlajuran Y.Bhg.Tan Sri dalam isu ini. Kami juga mengalu-alukan Y.Bhg. Tan Sri untuk bersama-sama duduk dalam pentas politik sekiranya Y.Bhg. Tan Sri benar-benar ingin bermain politik.

Adalah menjadi harapan kami agar Y.Bhg. Tan Sri sedar akan kesilapan yang telah Y.Bhg. Tan Sri nyatakan. Kami juga bersedia bertemu sekali lagi dengan Y.Bhg. Tan Sri bagi menjelaskan kedudukan sebenar akan apa perkara yang telah dibangkitkan oleh Y.Bhg. Tan Sri selama ini dan kami melihat banyak fakta yang dikemukan oleh Y.Bhg. Tan Sri tidak tepat.

Tiada ulasan: