"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Syariah tolak permohonan pinda penyata

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 25 Julai:
Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu hari ini menolak permohonan pihak plaintif meminda ‘penyata tuntutan’ pengesahan lafaz cerai untuk membolehkan menambah kejadian-kejadian yang berlaku selepas lafaz.

Hakim Syarie Abdullah Man menolak permohonan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk meminda penyataan tuntutan yang dibuat pada 30 Jun lepas.

Hakim membuat keputusan itu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup terhadap kes pengesahan lafaz talak tiga yang didakwa dilafazkan Sultan Kelantan terhadap Cik Puan Elia Suhana.

Pada 3O Jun lepas mahkamah menangguhkan perbicaraan kes terbabit selepas membenarkan permohonan Nik Rorhana meminda penyataan tuntutannya.

Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Elia Suhana berkata, hakim menolak kerana hanya ingin membicarakan kes lafaz cerai yang dibuat Sultan pada 12 Feb lepas sebagaimana difailkan plaintif.

Ekoran itu katanya mahkamah menetapkan pada 8 Ogos ini sebagai tarikh bagi menyambung semula perbicaraan.

“Mahkamah akan menyambung perbicaraan semula pada 8 Ogos depan di mana pihak plaintif dijangka mengemukakan beberapa saksi di samping hujah bertulis dikemukakan kedua belah pihak,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Mengenai prosiding Cik Puan Elia Suhana melawat Sultan Kelantan katanya, mahkamah menetapkan perbicaraan pada tarikh yang sama.

Pada prosiding sebelum ini dua saksi telah memberi keterangan termasuk Nik Rorhana. Beliau diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar.

Sultan Kelantan didakwa melafazkan cerai terhadap isteri muda ketika baginda masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu.

Tiada ulasan: