"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akuan Bersumpah : Peguam Bala Pertikai Alasan Nazri

SHAH ALAM, 22 DIS: Peguam Penyiasat Persendirian P. Balasubramaniam, Americk Sidhu mempertikai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz bahawa penarikan kenyataan bersumpah Balasubramaniam atau Bala bukan satu kesalahan kerana ia tidak dilakukan 'bagi tujuan prosiding mahkamah.'

Americk menegaskan pengakuan bersumpah yang bercanggah itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 199 Kod Undang-undang Jenayah yang menyatakan bahawa kenyataan palsu yang dibuat mengikut hak undang-undang dianggap sebagai pemberian bukti palsu di mahkamah dan boleh didakwa.

Malah Americk 'hairan' dengan sikap Nazri dan Peguam Negara, Datuk Abdul Ghani Patail yang seolah-olah mengelak untuk memanggil Bala ke mahkamah walaupun Bala sendiri sedia dihadapkan ke muka keadilan bagi menjelaskan pengakuan bersumpah beliau.

"Saya tak faham (atau mungkin saya faham) kenapa anda (Nazri dan Peguam Negara) menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga cuba mengelak dari menghadapkan anak guam saya ke mahkamah sedangkan kesalahan ini telah diperakui beliau."

Americk menyatakan demikian dalam kolum khas beliau di portal Malaysia Today semalam.

Pada sidang media 3 Julai 2008, Bala mengedar satu akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya, tetapi keesokannya menarik balik akuan bersumpah itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.

Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.

Bala juga mendakwa adik Perdana Menteri, Nazim Razak memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Malah 13 April lalu di Parlimen, Nazri sendiri mendakwa apabila Balasubramaniam menarik balik salah satu akuan bersumpahnya, ia bermaksud penyiasat persendirian berkenaan telah melakukan penipuan semasa bersumpah dan ia boleh diambil tindakan.

Americk juga mempersoalkan mengenai hal sama terhadap blogger Raja Petra Kamaruddin yang tanpa bertangguh waran dikeluarkan kerana menarik pengakuan bersumpah beliau mengenai kes yang sama.

"Adakah anda ingat mengenai Pengakuan Bersumpah YM Raja Petra Kamaruddin dulu mengenai kehadiran Rosmah Mansor di tempat Altanthuya dibom?Ya, bagaimana boleh lupakan perkara ini.

Ketika itu, tiada sebarang keraguan mendakwa Raja Petra atas tuduhan mencemarkan nama baik Rosmah walaupun Pengakuan Bersumpah itu tidak dilakukan 'bagi tujuan prosiding mahkamah,"kata Americk lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan: