Zulkifli Sulong
Isu Felda sekali bergema di persada politik negara apabila Pengerusi Anak, Mazlan Aliman menjadikan peneroka Felda dan anak cucu mereka sebagai pihak yang perlu diperjuangkan.
Apa yang dikatakan oleh Mazlan penting kerana selain mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum, konvensyen kali ini juga perlu mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis, Johor.
Pilihan raya kecil ini perlu diadakan ekoran kematian Adunnya, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini.
Ucapan Mazlan penting kerana di Dun Tenang, lebih 3,000 pengundinya adalah peneroka dan penghuni tiga kawasan Felda di dalam Dun tersebut.
Pelbagai cadangan dikemukakan Mazlan dalam ucapannya kali ini. Ada yang lama dan banyak juga cadangan baru yang dikemukakan beliau.
Yang terbaru adalah cadangan beliau agar sebuah universiti Felda ditubuhkan sebagaimana lain-lain agensi dan badan kerajaan yang mempunyai universiti sendiri termasuklah TNB dan Petronas.
Felda, kata Mazlan, mempunyai kelebihan tersendiri sehingga melayakkannya untuk dibina sebuah universiti. Antaranya mempunyai tanah yang banyak.
"Saya cadang, apa salahnya Felda dibina di bandar pusat Jengka misalnya," kata Mazlan dalam ucapannya itu.
Atas ucapan itulah, nama Mazlan disebut-sebut bakal menjadi calon pilihan Pakatan Rakyat untuk mewakili mereka dalam pilihan raya kecil Tenang tidak lama lagi.
Ketika konvensyen berlangsung, pemimpin utama Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat khas yang jarang-jarang mereka adakan ketika majlis berlangsung.
Mesyuarat yang disertai oleh semua pemimpin PAS, PKR dan DAP dikatakan telah membincangkan beberapa isu penting. Antaranya calon Tenang, kedudukan ketua pembangkang berikutan penggantungan Anwar dan beberapa isu penting lagi.
Nampak jelas, selepas mesyuarat berakhir, wajah mereka berseri-seri tanda kesepakatan dicapai dengan penuh toleransi. Ia diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail yaang ditemui selepas mesyuarat khas itu.
Kata Saifudin, para pemimpin Pakatan akan mengumumkan beberapa perkara penting ketika ucapan penggulungan mereka penting ini.
Tunggulah nanti pengumuman itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan