KUALA LUMPUR, 23 Dis: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar surat tuntutan meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Utusan Malaysia menarik balik komen-komen, didakwa bersifat fitnah, susulan pendedahan WkiLeaks menyentuh kes liwat beliau.
Peguam Anwar (gambar), Sankara Nair berkata, tindakan seumpama itu membabitkan individu-individu tertentu dan organisasi media yang lain akan menyusul dalam beberapa hari lagi.
“Ini adalah dua notis pertama dikeluarkan dan beberapa lagi akan dihantar kepada individu tertentu dan organisasi media lain dalam beberapa hari lagi,” kata Sankara dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Notis tuntutan itu meminta agar kenyataan berunsur fitnah itu ditarik dan memohon maaf secara terbuka.
Kedua-dua pihak diberikan tempoh 14 hari, kata notis tuntutan itu.
Laporan Utusan Malaysia memetik Dr Mahathir sebagai berkata, “aktiviti liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya sudah diketahui umum tetapi ada kalangan parti politik yang ‘buat-buat tidak tahu’ akan hal tersebut.”
Kenyataan notis tuntutan itu berkata, “sambil mengakui yakin menteri mentor Singapura Lee Kuan Yew mengetahui mengenai pembabitan Anwar dalam aktiviti liwat, Dr Mahathir berkata ‘memang saya pun fikir dia tahu... tapi parti politik yang buat tak tahu’.”
Dr Mahathir dipetik mengulas laporan WikiLeaks mengenai pendedaghan agensi perisikan Singapura terhadap kegiatan liwat Anwar.
Notis tuntutan itu menambah, perkataan-perkataan itu menggambarkan bahawa Anwar seorang yang tidak jujur dalam kapasiti peribadi dan rasmi, pembohong, tidak boleh dipercayai dan tidak layak jadi ahli politik, tidak layak memegang jawatan awam, tidak berprinsip dan korup, melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan dan kesalahan-kesalahan lain dan tidak beretika.
Selain meminta agar menarik balik dan memohon maaf, notis tuntutan itu juga mahu Utusan Malaysia dan Dr Mahathir berjanji tidak akan mengulangi dakwaan dan komen-komen bersandarkan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu dan membayar sejumlah ganti rugi kepada Anwar.
Sankara berkata, pihaknya akan mengambil prosiding perundangan jika kedua-dua Utusan Malaysia dan Dr Mahathir tidak memenuhi tuntutan Anwar dalam tempoh 14 hari.
Pada 14 Disember lalu, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.
Malah beliau menganggap, tindakan Ketua Pembangkang itu menyaman dirinya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini pun Anwar pernah melakukan perkara yang serupa.
“Tak apalah... samanlah. Dia dah saman saya RM100 juta. Kalau dia nak saman, saya masuk jellah. Tak apalah...,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan