"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jen (B) Tun Ibrahim Ismail Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Jen (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Marina Harun, Allahyarham meninggal pada 4.40 pagi.

Jenazah beliau telah dibawa ke rumahnya di No 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar. Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lepas.

Orang ramai boleh menziarahi dan memberi penghormatan terakhir terhadap bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia,Jen (B) Tun Ibrahim Ismail di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara mulai 3 petang ini.

Menurut kenyataan Masjid Negara, solat jenazah akan diadakan sejurus selepas solat Asar manakala upacara pengkebumian akan disempurnakan di Makam Pahlawan selepas itu.

Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketiga.

Pada 30 Nov 1977, beliau menamatkan perkhidmatan setelah 36 tahun berkhidmat sebagai tentera dan sekaligus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai PAT.

Sepanjang menjadi PAT, beliau dikatakan banyak mengatur kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis.

Allahyarham pernah berkhidmat di dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
-Bernama-

Tiada ulasan: