BANDUNG, 21 Dis: Dengan diiringi beberapa pengawal peribadi, pelakon Luna Maya muncul di Mahkamah Daerah di sini semalam untuk menjadi saksi dalam kes klip video seks membabitkan teman lelakinya Nazriel “Ariel” Irham.
Ariel, penyanyi utama kumpulan terkenal Peterpan ini, berhadapan dengan tuduhan terlibat dalam penyebaran bahan lucah, yang dihasilkan olehnya menggunakan kamera telefon bimbit ketika mengadakan hubungan seks bersama selebriti Cut Tari dan Luna Maya (gambar), teman wanita Ariel semasa.
Cut Tari adalah bekas teman wanitanya dan kini sudah berkahwin. Dengan dikerumuni pemberita dan penunjuk perasaan di luar mahkamah daerah, Luna Maya terus masuk ke bilik tahanan mahkamah di mana peguam-peguamnya bersiap sedia untuk mendengar prosiding.
Selain Luna Maya, pembantunya Puri Lasmi serta Anggit Gagah Pratama dan Reza Rinaldi juga dipanggil memberi keterangan pada perbicaran semalam, yang terus diadakan secara tertutup.
Reza, yang juga defendan dalam skandal video, dituduh menyebarkan klip video itu bersama Anggit. Ketika bercakap kepada pemberita selepas prosiding, ketua pendakwa Rusmanto berkata, klip video itu sekali lagi ditayangkan kepada kesemua saksi bagi membolehkan mereka mengenal pasti individu-individu yang terlibat.
“Luna berkata dia tidak boleh mengenal pasti wanita dalam kedua-dua itu. Mengenai lelaki pula, dia tidak kata yang itu Ariel tetapi hanya mengatakan bahawa potongan rambutnya seakan-akan sama dengan defendan (Ariel),” kata Rusmanto.
Rusmanto memberitahu, pembantu Luma Maya enggan menonton klip video itu atas alasan bahan seumpama itu tidak sesuai untuk ditonton.
Dalam pada itu, peguam Ariel, Alfian Bonjol pula berkata, tidak ada seorang pun saksi dapat membuktikan anak guamnya terlibat dalam penyebaran klip video lucah sebagaimana didakwa pendakwa raya.
Selasa lalu, adegan seks bintang rok Ariel dan Cut Tari turut dipertontonkan ketika perbicaraan membabitkan penyanyi kumpulan Peterpan itu.
Kemudian, Cut Tari memberitahu pemberita bahawa dia rasa sedih apabila menonton kilp video sekali lagi. Kali pertama ia ditunjukkan bahan itu bersama Ariel ialah Ogos lalu ketika disoal siasat oleh polis.
“Ia hanya membuka semula segala luka (yang telah dialami),” kata Cut Tari.
Cut Tari merupakan salah seorang daripada enam saksi yang memberi keterangan minggu lalu.
“Kesemua saksi mengatakan bahawa mereka (dalam video) itu menunjukkan Ariel, Luna Maya (seorang bekas penyampai program TV), sekarang teman wanita Ariel dan Cut Tari,” kata ketua pendakwa Rusmanto minggu lalu.
Luna Maya tidak dapat hadir di mahkamah minggu lalu kerana berada di Singapura. Ariel yang ditahan sejak Jun lalu didakwa menghasilkan klip video itu, menunjukkan hubungan seks dengan Luna Maya dan Cut Tari pada dua masa yang berlainan.
Ariel dikenakan tuduhan di bawah Undang-undang Anti Pornografi 2008, Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik 2008 dan Kanun Jenayah kerana “mengambil bahagian dalam satu perbuatan jenayah.”
Pada pertengahan Ogos lalu, Ariel menafikan yang dia terlibat dalam dua klip video pornografi apabila dipertontonkan bersama Cut Tari.
Klip video yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon, panjangnnya antara lima dan tujuh minit disebarkan menerusi internet sejak awal Jun lalu.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan