IPOH, 21 DIS: Kedutaan Thailand sedang menguruskan supaya satu penerbangan khas dari sini ke Bangkok dapat dilakukan bagi membawa pulang mayat 24 rakyatnya yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.
Duta Thailand ke Malaysia Thana Duangrana, yang ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, berkata pihaknya berharap penerbangan khas itu dapat dilakukan secepat mungkin.
Katanya pihak kedutaan akan memohon kepada kerajaan Thailand supaya sebuah pesawat khas dapat diterbangkan ke Malaysia bagi tujuan itu.
Beliau berkata pihaknya akan membuat persediaan termasuk mempercepatkan urusan dokumentasi supaya penerbangan khas itu dapat disegerakan. Katanya beliau akan mengusahakan supaya penerbangan khas itu dilakukan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.
Kemalangan terburuk itu berlaku pada 11.40 pagi semalam apabila sebuah bas dua tingkat membawa 37 pelancong dari Thailand sedang menuruni bukit. Tiga rakyat tempatan terdiri pemandu bas, penolong pemandu dan seorang pemandu pelancong turut terbunuh.
Suasana di hospital kelihatan sibuk bagi urusan dokumentasi mayat tetapi kaunter khidmat polis yang dibuka sejak kemalangan itu berlaku agak tenang. Setakat ini waris kepada mangsa yang maut dan cedera mula hadir ke Jabatan Forensik untuk menuntut mayat dan mendapatkan maklumat mengenai anggota keluarga mereka yang terlibat. Seorang petugas jabatan berkenaan berkata pihaknya juga masih menunggu maklumat daripada polis.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan