KUANTAN: Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara 45 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah, masing-masing RM500, antara November tahun lepas dan Januari lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malek Sulaiman, 43, dari Taman Kempadang Baru, di sini selepas mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Abdul Malek didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong di kafe sebuah hotel di sini, kira-kira pukul 5.44 petang pada 15 November tahun lepas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik Teoh yang mengangkut pasir dan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Abdul Malek yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang didakwa menerima suapan masing-masing RM500, juga daripada Teoh atas sebab yang sama di kafe dua hotel berbeza kira-kira pukul 3.39 petang, 17 Disember tahun lepas dan 12.30 tengah hari pada 19 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, bagi setiap kesalahan.
Irwan menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara dan denda RM10,000 terhadap tertuduh bagi setiap kesalahan itu dan mengarahkan hukuman berjalan berasingan bermula hari ini.
Terdahulu, Abdul Malek dalam rayuannya menerusi peguam, Syed Azimal Syed Abu Bakar, Mohamad Saifuldin Ab Rahman dan Mohd Rosalman Fithri Salim memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman minima dengan alasan ia adalah kesalahan pertamatertuduh selain memiliki rekod perkhidmatan baik.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM, Raja Mohd Shasrizam Raja Nik Mahmood membantah rayuan berkenaan dan mahu tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal memandangkan rasuah adalah kesalahan serius malah tertuduh juga adalah penjawat awam.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara dan mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu dalam kes lain di mahkamah yang sama, seorang bekas Eksekutif Kewangan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dijatuhi hukuman penjara berjumlah tiga tahun dan 11 sebatan selepas didapati bersalah atas 11 tuduhan pecah amanah antara Disember 2007 hingga Mac 2008.
Mohamad Yusnizam Mohamad, 30, dari Kampung Padang di sini dituduh melakukan kesalahan itu membabitkan 11 cek dengan jumlah keseluruhannya kira-kira RM260,700 di pejabat koperasi itu di Sri Kuantan Square, Jalan TelukSisek, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Irwan bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara dan mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Hidayatul Syuhada Shamsudin manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Hisham Abdul Rahim dan Zaharman Zainal Abidin.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan