"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas ada peluang menang

JOHOR BAHRU: Pas mempunyai peluang menang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang memandangkan kerusi N05 adalah kerusi campuran dengan 50 peratus Melayu, 38 peratus Cina dan 12 peratus India.
 
Perkara itu diumumkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkefly Ahmad yang mana dua kerusi yang dimenangi Pas sebelum ini iaitu DUN Maharani dan Sungai Abong memiliki komposisi yang sama.


Beliau berkata, Pas telah memenangi di tiga UPU dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 iaitu Bandar Labis Timur, Bandar Labis Tengah dan Labis.

“Mengambil senario pengundi Cina masih bersama Pas dan PR maka fokus gerak kerja Pas adalah untuk meningkatkan undian pengundi Melayu dan India bagi memastikan kemenangan Pas di DUN Tenang.

“Kemenangan calon Pas di PRK Tenang akan menyuburkan sistem demokrasi dalam negeri Johor kerana kita boleh mewujudkan konsep teliti dan imbangi dengan lebih berkesan.

“Jika kemenangan berpihak kepada kita, kita akan menambahkan suara pembangkang DUN Johor daripada enam DUN sedia ada kepada tujuh DUN daripada 56 DUN di Johor,” katanya pada sidang media di Rumah Kelab Akhbar Cina di sini, semalam.

Menurutnya, penambahan kerusi DUN Tenang akan menguatkan suara pembangkang khususnya dalam membawa masalah rakyat ke DUN Johor.

“Kita juga akan memastikan setiap projek atau keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi kesan yang baik serta menguntungkan rakyat dan bukan membebankan.

“Pengundi-pengundi PRK DUN Tenang termasuk ahli penyokong UMNO dan BN tidak perlu takut untuk mengundi Pas kerana jika Pas menang, Kerajaan Negeri Johor tidak akan terjejas kerana Johor akan terus kekal dan berada dibawah pemerintahan UMNO dan BN.

“Saya merayu kepada semua pengundi-pengundi untuk PRK DUN Tenang keluar beramai-ramai membuang undi bagi menaikkan peratusan undi agar melebihi 80 peratus,” katanya.

Pada PRU-12 yang lalu, peratusan yang keluar mengundi adalah 73.45 peratus dan meningkat pada PRK Galas (82 peratus) serta Batu Sapi (79 peratus). 
-sinarharian-

Tiada ulasan: