"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nahas Bas Ekspres : DPPNK Kesal Laporan Media Berunsur Khurafat

ahmadfadhli
1.  Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) terpanggil untuk memberikan respon ekoran nahas Bas Ekspres di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands yang mengakibatkan 27 orang maut pada 20 Disember 2010 yang lepas. DPPNK mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat termasuklah pelancong-pelancong dari Thailand dan semoga dapat bersabar di dalam menghadapi kehilangan orang yang tersayang.

2.       Di dalam masa yang sama, DPPNK terpanggil untuk memberikan respon terhadap laporan muka hadapan akhbar Kosmo, 21 Disember 2010 yang boleh menjurus kepada kepercayaan khurafat dan syirik.

 
3.       Laporan muka hadapan akhbar berkenaan cuba mengaitkan kehadiran ratusan burung gagak di atas bumbung hotel tempat penginapan mangsa nahas pada malam sebelum kejadian sebagai petanda bahawa nahas tersebut akan berlaku. Dilaporkan juga bahawa ratusan burung gagak berkenaan membuat bising pada malam berkenaan seakan-akan memberi petanda awal terhadap tragedi tersebut.

 
4.       Perlulah diingatkan, mengaitkan nasib malang atau tuah kepada burung yang terbang di udara merupakan amalan syirik yang sangat ditegah oleh Rasulullah SAW. Di dalam Islam, ia digelar sebagai amalan tatayyar. Di zaman Jahiliyyah, mereka akan melihat arah burung yang terbang sebelu memulakan perjalanan. Arah terbang tertentu dianggap sebagai nasib malang yang akan menimpa dan begitu juga sebaliknya.

 
5.       Amalan ini sangat ditegah oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadisnya :
a.       “al-Tiyarah (tatayyar)  itu syirik” – maksud hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ahmad.
b.      “Sesiapa yang menggantung hajat kepada burung yang terbang sesungguhnya telah (melakukan) syirik..” – Maksud hadis riwayat Ahmad.

 
6.       Kesimpulannya, menggantungkan tingkah laku binatang khususnya burung dengan sesuatu perkara yang akan berlaku (kecuali mempunyai penjelasan logik) adalah merupakan amalan syirik dan khurafat. Sehubungan dengan itu, sukalah diingat kepada pengamal media untuk tidak memanipulasikan berita-berita seperti ini dari sudut yang boleh menjerumuskan kepada kepercayaan syirik. Janganlah pemberitaan sensasi menjadi keutamaan sehingga menyebabkan terlanggarnya batasan-batasan akidah dan syarak.

 
Sekian.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Bertarikh : 23 Disember 2010 / 17 Muharam 1432

Tiada ulasan: