"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aneh ... orang Umno tak kena tsunami pun dapat rumah

Kassim Muhammad
Perihal kekangan yang disengajakan dan Tsunami yang membuak-buak .Di lebuh raya dua atau tiga lorong, kita kadang-kadang masih juga terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang panjang dan memeritkan; lalu lintasnya merangkang-rangkak seperti kura-kura atau paling teruk seluruh lalu lintasnya terhenti terus― macet. 

Kita tidak ketahui apakah bersebab musababnya ― apakah ada lori rosak yang tersadai, atau ada kemalangan yang menarik perhatian para pemandu atau mungkin juga lorongnya tiba-tiba mengecil daripada tiga lorong ke hanya dua buah lorong saja ― sehinggalah kita lalui kesesakan itu.

Semua sebab musabab ini telah mewujudkan ‘constriction’ ― halangan-halangan yang mengekang lalu lintas. 

ii. 

Fenomena aliran ‘lalu lintas’ yang tersekat-sekat ini kita temui juga dalam gerakan bendalir seperti air sungai. Sepertimana yang kita ketahui dan perhatikan, sebarang halangan air sungai menyebabkan pengalirannya tersekat-sekat sehingga kerap wujud apa yang disebut ‘backwater effect’ yang memudharatkan. 

Dalam konteks pemerintahan ― dasar yang salah, tidak telus, zalim sememangnya jelas tidak menguntungkan sesiapa. Ini bermakna sesuatu dasar atau polisi awam yang dikanunkan oleh pemerintah bukan selalunya membawa kebaikan kepadanya dan juga rakyat. Contoh yang sudah menjadi rahsia umum dan sangat tersohor itu ialah dasar tidak bertulis bahawa hanya ‘kumpulan kita saja’ yang mesti diutamakan dalam segala macam pengagihan habuan/dana ― sering sekali menjadi sumber tidak puas hati dan kemarahan rakyat. Malangnya sehingga ke saat ini, kita masih lagi melihat bagaimana dasar pilih kasih yang menzalimi rakyat ini masih juga menjadi amalan pemerintah. Aneh tapi benar, pemerintah ini masih lagi berpendapat bahawa dasar-dasar seumpama ini sememangnya menguntungkannya sebagai pemerintah! 

iii. 

Azizi Abdullah dapat entri blognya menceritakan bagaimana pembahagian rumah yang dibina oleh pemerintah untuk para korban Tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah itu, telah memudharatkan pemerintah itu sendiri. 

Rungutan bahawa yang mendapat manfaat rumah yang dibina oleh pemerintah itu bukanlah para mangsa bencana alam itu, tetapi suku sakatnya parti pemerintah. 

Semalam kami kebetulan berada ke Kuala Sungai Muda, menziarahi seorang aktivis parti pembangkang dan juga anaknya yang sudah berkeluarga. Mereka adalah di antara mangsa/korban yang telah kehilangan segala-galanya adalah di antara yang tidak kebagian rumah Tsunami. 

“Orang-orang Umno, entah dari mana yang dapat rumah-rumah itu.” kesayuannnya dapat kita rasakan. 

“Apakah mereka tidak malu kepada mangsa Tsunami yang sebenar?” teman saya bertanya. 

“Sejak bila Umno tau makna malu?” 

Dasar yang salah, baik yang bertulis atau pun tidak, adalah kekangan dalam pemerintah/pentadbiran. Kekangan, jika tidak dibuang bakal memudharatkan semua ― termasuk pemerintah yang membuat dasar itu. 

Apakah Umno tidak nampak segala mudharat yang timbul akibat segala tindakannya selama ini― sejak kita merdeka setengah abad yang lalu?

Tiada ulasan: